Anggota polis daripada Balai Polis Allen dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1 pagi dan menemui mayat enam individu tersebut, termasuk seorang nenek, ibu, bapa dan tiga anak, lapor portal berita KXAS.
Sarjan Jon Felty memberitahu stesen radio KRLD-AM, kesemua mangsa ditemui dengan kesan tembakan.
"Siasatan awal mendapati dua anak remaja lelaki dipercayai bersetuju untuk membunuh diri dan membunuh ahli keluarga mereka," jelas Felty.
Dia turut berkata keluarga berkenaan yang dikatakan berasal dari Bangladesh, tidak mempunyai rekod keganasan domestik sebelum ini.
Polis belum lagi mendedahkan identiti mangsa namun sumber memberitahu stesen televisyen KTVT, pasangan kembar Farhan dan Farbin Towhid, 19, abang mereka Tanvir Towhid, 21, dan ibu bapa mereka, Iren dan Towhidul Islam, meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Nenek pasangan kembar tersebut juga antara mangsa dalam kejadian itu, lapor KTVT.
Rakan keluarga itu, Shawn Ahsan memberitahu, dia tidak dapat bernafas selepas mendengar berita tentang kejadian itu.
"Bagaimana perkara ini boleh berlaku dalam komuniti kita ini?
"Saya sangat rapat dengan keluarga tersebut dan kami sering berhubung dan melawat masing-masing.
"Namun anak-anak mereka mungkin tidak gembira atas sebab tertentu sehingga kejadian seperti ini boleh berlaku," katanya.
* Jika anda atau kenalan anda mengalami kemurungan, sunyi atau ada terfikir untuk membunuh diri, segera hubungi Befrienders bagi mendapatkan bantuan 24 jam sehari, setiap hari.
** Segala perkhidmatan yang diberikan adalah percuma dan dirahsiakan.