ANTANANARIVO: Tiga orang maut dan hampir 1,000 mangsa cuaca buruk di wilayah Sava Madagascar berikutan Siklon Tropika Dikeledi, lapor Xinhua, memetik laporan daripada Pejabat Kebangsaan bagi Pengurusan Risiko dan Bencana yang dikeluarkan pada Ahad.

Siklon Dikeledi mendarat di daerah Vohemar, utara Madagascar, kira-kira 7.30 malam waktu tempatan pada Sabtu, membawa angin 130 kilometer sejam (km/j) dengan tiupan kencang sehingga 180 km/j. Siklon itu keluar dari pantai utara pulau itu pada 11.00 malam waktu tempatan pada Sabtu, meneruskan laluan ke barat.

Bencana itu menyebabkan 308 orang kehilangan tempat tinggal dan 179 rumah ditenggelami air. Selain itu, 38 rumah mengalami kerosakan sebahagian, manakala bahagian Jalan Nasional No. 6 terputus, merumitkan lagi akses ke kawasan yang terjejas.

Pihak berkuasa meteorologi memberi amaran tentang hujan lebat dalam beberapa jam akan datang, dengan ramalan lebih 120 milimeter hujan, terutamanya di wilayah utara pulau itu.

-- BERNAMA