COLOMBO: Hampir 480,000 orang terjejas akibat cuaca buruk di Sri Lanka sejak 22 Nov lepas, menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC) negara pada Sabtu.

DMC dalam kemas kini terbaharu memaklumkan seramai 479,871 individu daripada 142,624 keluarga terjejas, dengan 17 kematian dan 20 kecederaan dilaporkan, lapor Xinhua.

Jabatan Meteorologi Sri Lanka menyatakan bahawa ribut siklon di barat daya Teluk Bengal berada kira-kira 420 kilometer (km) di utara Trincomalee di timur Sri Lanka dan kira-kira 290 km di utara Kankesanthurai di utara negara ini pada pagi Sabtu.

Ia semakin lemah ketika memasuki India, dan pengaruhnya terhadap Sri Lanka turut semakin berkurangan, menurut jabatan itu.

-- BERNAMA