WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan berhubung dengan rakan-rakan serantau bagi memastikan gencatan senjata dan perjanjian tebusan dapat direalisasikan.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, langkah itu perlu dimuktamadkan segera susulan pihak Israel mendakwa mereka menemui enam mayat tebusan rakyatnya dalam sebuah terowong bawah tanah di Gaza, Palestin.

Bagaimanapun, Miller mengakui, untuk mencapai persetujuan itu semestinya memerlukan kesefahaman yang baik antara kedua-dua belah pihak.

"Dalam beberapa hari akan datang, Amerika Syarikat akan terus terlibat dengan rakan kongsi kami di rantau ini untuk mendesak perjanjian akhir.

"Semasa perbincangan minggu lepas, kami membuat perancangan dalam menangani sebarang halangan yang masih ada, namun kita sedar untuk memuktamadkan perjanjian memerlukan persefahaman, kedua-dua pihak harus mencari alasan untuk bersetuju dan bukannya dengan beri alasan dengan cuba menolak.

"Terdapat puluhan tebusan masih kekal di Gaza yang menunggu untuk dibawa pulang. Rakyat Israel tidak mampu tunggu lebih lama dan rakyat Palestin juga turut alami kesan buruk akibat perang ini. Ketahuilah, dunia tidak mampu menunggu lebih lama dalam konflik ini," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Miller menjelaskan, AS juga akan bekerjasama dalam beberapa hari lagi dengan perantara Mesir dan Qatar bagi mendesak perjanjian muktamad dicapai.

Namun, satu perkara penting ialah desakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menekankan agar tentera mereka kekal di sempadan antara Gaza dan Mesir.

Sementara itu, anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga menyatakan kebimbangan terhadap situasi rundingan gencatan senjata di Gaza yang dilihat tiada sinar.

Duta Besar Slovenia ke PBB, Samuel Zbogar berkata, UNSC mungkin akan 'hilang sabar' dan perlu mengambil tindakan untuk mewujudkan gencatan senjata atau mempertimbangkan kaedah lain agar konflik tidak berlarutan. - Agensi