MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis berkata beliau menyokong gencatan senjata selama 30 hari dalam konflik Ukraine yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS), tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Kami bersetuju dengan cadangan untuk menghentikan konflik," kata Putin pada sidang media selepas pertemuannya dengan Presiden Belarus Alexander Lukashenko.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cadangan itu hanya diterima sekiranya gencatan senjata membawa kepada keamanan yang berkekalan serta menghapuskan punca utama konflik Ukraine.

"Kami menyokong, tetapi ada perkara yang perlu diperhalusi. Apakah yang dimaksudkan? Pertama, apa yang akan kita lakukan dengan kawasan tanah di Kalinino di wilayah Kursk? Apa maksudnya jika kita menghentikan pertempuran selama 30 hari? Adakah semua yang berada di sana akan berundur tanpa bertempur, dan kita perlu membiarkan mereka pergi setelah mereka melakukan banyak jenayah terhadap orang awam? Atau kepimpinan Ukraine akan mengarahkan mereka untuk menyerahkan senjata," kata Putin.

-- BERNAMA