HANOI: Sebuah helikopter terhempas di utara Vietnam pada Rabu, mengorbankan dua orang dan menyebabkan tiga lagi hilang, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Vietnam (VNA).

Helikopter Bell 505, milik Syarikat Helikopter Vietnam Utara yang dinaiki seorang juruterbang dan empat pelancong itu terhempas ketika melakukan lawatan udara tapak Warisan Dunia Teluk Ha Long di Quang Ninh.

Pasukan penyelamat masih menjalankan misi mencari mangsa yang hilang, menurut Kementerian Pertahanan Vietnam.

Helikopter itu berlepas pada 4.56 petang waktu tempatan dan terputus hubungan kira-kira pukul 5.15 petang.

-- BERNAMA