SYDNEY: Sebuah helikopter terhempas di atas bumbung sebuah hotel di Queensland Utara, Australia awal pagi Isnin, mengakibatkan juruterbangnya maut manakala dua individu lain cedera, lapor Xinhua.

Juruterbang yang terkorban merupakan seorang lelaki berusia 40-an.

Seorang lelaki berusia 83 tahun dan seorang wanita berusia 76 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital dalam keadaan stabil, menurut laporan Sydney Morning Herald.

Susulan kejadian itu, sekitar 400 orang terpaksa dipindahkan dari hotel DoubleTree by Hilton di Cairns Esplanade, lapor ABC News Australia.

Cairns Post melaporkan seorang lelaki berusia 80-an dan seorang wanita berusia 70-an yang menginap di bilik hotel berhampiran lokasi kejadian cedera akibat terhidu asap.

Mereka menerima rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Cairns untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA