SACRAMENTO: Sekurang-kurangnya dua terkorban susulan gempa bumi dengan magnitud 6.4 yang melanda California, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Kejadian turut menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik.

Menurut Badan Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku pada kedalaman 16 kilometer kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan di daerah Humdoldt.

Ia turut mengeluarkan amaran satu lagi gempa kuat dijangka melanda tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini

BACA: Gempa bumi kuat landa California Utara 

Perkhidmatan Kecemasan Daerah Humboldt memaklumkan sekurang-kurangnya 11 individu cedera dalam kejadian itu dan dua lagi maut semasa atau sejurus gempa bumi berlaku.

Sebuah jambatan di Dareah Humboldt ditutup selepas mengalami kerosakan susulan gempa kuat yang melanda California pada Selasa. - Foto AP

Pengarah Perkhidmatan Kecemasan California, Mark Ghilarducci berkata sebanyak 80 gempa susulan dilaporkan dengan yang paling kuat pada magnitud 4.6 di Rio Dell.

"Negara ini merupakan negara gempa bumi dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Apa yang penting adalah untuk mempunyai rancangan untuk hadapi gempa bumi dan bekalan yang mencukupi jika terputus bekalan elektrik," katanya.

Menurut Badan Pemantau Geologi California gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter dijangka akan melanda minggu hadapan.

Penduduk digesa menyimpan bekalan seperti air, makanan, dan lampu suluh.

Sebanyak 68,000 rumah dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik di Daerah Humboldt.

Beberapa jambatan turut mengalami kerosakan akibat gempa bumi berkenaan.