WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa seorang lelaki Iran berhubung dengan plot yang didakwa diarahkan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) untuk membunuh Presiden terpilih Donald Trump sebelum Pilihan Raya Presiden, kata Jabatan Kehakiman negara itu pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, jabatan itu berkata, Farhad Shakeri telah memberitahu pihak penguatkuasa undang-undang bahawa dia diarahkan pada 7 Oktober 2024 untuk menyediakan rancangan untuk membunuh Trump.

Shakeri turut didakwa memberitahu pihak berkuasa, dia tidak berhasrat untuk merancang pembunuhan Trump dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh IRGC.

Jabatan itu, bagaimanapun menegaskan, Shakeri, 51, belum lagi ditangkap dan dia dianggap sebagai aset IRGC yang dipercayai masih bebas dan berada di Tehran, Iran.

Dia didakwa berhijrah ke AS semasa kecil dan dihantar pulang sekitar tahun 2008 selepas disabitkan dengan kesalahan rompakan.

Dua penduduk New York yang Shakeri temui di penjara, Carlisle Rivera dan Jonathan Loadholt turut didakwa kerana membantu Shakeri merancang untuk membunuh seorang warganegara AS berketurunan Iran di New York, yang digambarkan sebagai pengkritik lantang kerajaan Iran yang sebelum ini pernah menjadi sasaran pembunuhan.

Pihak pendakwa tidak menamakan sasaran tersebut, tetapi ia sepadan dengan keterangan Masih Alinejad, seorang wartawan dan aktivis yang mengkritik undang-undang pemakaian tudung kepala untuk wanita di Iran.

Empat warga Iran didakwa pada 2021 berkaitan dengan plot untuk menculiknya dan pada 2022 seorang lelaki ditangkap dengan senapang di luar rumahnya.

Rivera dan Loadholt telah diarahkan ditahan sementara menunggu perbicaraan. - Agensi