PENGASAS dan juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat farmaseutikal BioNTech gembira dan berpuas hati dengan ujian klinikal vaksin yang dihasilkan bersama syarikat Amerika Syarikat (AS) Pfizer yang menunjukkan kadar keberkesanan lebih 90 peratus dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Menerusi temu bual bersama Sky News, Profesor Ugur Sahin memaklumkan vaksin tersebut akan diedarkan pada pertengahan Disember di United Kingdom.

Namun, beliau mengingatkan bahawa impak perkembangan itu hanya akan dapat dicapai dari semasa ke semasa dan boleh berubah mengikut keadaan.

Bagaimanapun beliau terus optimis bahawa keadaan akan kembali seperti sedia kala pada pertengahan 2021 dengan adanya vaksin Pfizer dan BioNtech dan pembangunan vaksin lain.

BACA: COVID-19: Akhirnya, saintis temui vaksin keberkesanan sehingga 90 peratus

BACA: KKM kaji logistik vaksin sebelum buat sebarang keputusan


"Ya, pastinya dengan keadaan seperti ini kami merasakan satu tanggungjawab yang besar, namun pada sudut lain, saya juga gembira kami tidak berseorangan.

"Terdapat beberapa syarikat besar akan menerbitkan keputusan penghasilan vaksin mereka dalam masa terdekat dan saya menjangkakan keputusan yang positif kerana berdasarkan laporan yang saya terima sebelum ini adalah baik.

"Jadi saya tidak merasakan saya keseorangan. Dan kami akan terus berusaha menentang pandemik ini dan kami akan lakukannya bersama syarikat lain," jelasnya. 

BACA: Kenali pasangan suami isteri di sebalik vaksin Pfizer-BioNTech

Sebelum ini, vaksin buatan Pfizer dan BioNTech didapati menunjukkan 90 peratus keberkesanan dalam mengelak jangkitan COVID-19.

Menurut Pfizer, vaksin jenis mRNA itu terbukti mampu mengelak jangkitan COVID-19 bagi hampir kesemua individu yang mengambil bahagian dalam ujian klinikal fasa ketiga.