Dinamakan sempena wilayah Sichuan di barat daya China, kapal baharu yang dibangunkan secara mandiri itu telah dilancarkan dalam satu majlis pelancaran dan penamaan. Ia diberikan nombor lambung 51.
Sichuan mempunyai muatan penuh melebihi 40,000 tan serta dilengkapi superstruktur berkembar dan dek penerbangan sepanjang kapal.
Ia menggabungkan teknologi inovatif seperti katapel elektromagnetik dan sistem penangkap, yang membolehkannya membawa pesawat sayap tetap, helikopter dan peralatan amfibia.
Sebagai kapal amfibia generasi baharu Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China, ia memainkan peranan penting dalam memajukan transformasi Tentera Laut dan meningkatkan keupayaan tempur di laut lepas, menurut pegawai Tentera Laut.
Selepas pelancarannya, kapal itu akan menjalani beberapa siri ujian terancang, termasuk pentauliahan peralatan, ujian tambatan dan ujian laut.
Tentera Laut China terus meningkatkan keupayaannya dalam menjalankan operasi tempur amfibia dan pendaratan pelbagai dimensi.
Pada 2019, ia memperkenalkan kapal amfibia kelas 075 yang pertama, Hainan, di Shanghai. Hainan secara rasmi memasuki perkhidmatan pada April 2021. Dua lagi kapal amfibia Type 075, Guangxi dan Anhui, turut telah ditauliahkan.
-- BERNAMA