KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd bersedia menangani lonjakan jumlah pesanan sehingga tiga kali ganda di Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan negara maju itu mengenakan tarif ke atas import sarung tangan getah China pada Januari 2025.

Pengarah Urusannya Lim Cheong Guan berkata Top Glove mempunyai kapasiti dan tenaga kerja mencukupi bagi mengendalikan jangkaan lonjakan itu selain terus menampung permintaan untuk pasaran lain.

"Pada masa ini kadar penggunaan adalah 70 peratus dengan rancangan meningkatkan kemampuan kapasiti sehingga 70 bilion keping menjelang akhir tahun dan 95 bilion keping menerusi semua peningkatan barisan pengeluaran tanpa perlu membuka kilang baharu.

"Kemampuan kami adalah menukar pengeluaran sarung tangan nitril dan getah asli dalam tempoh berminggu yang dapat memastikan penyesuaian dengan keperluan pasaran," katanya pada sidang media bersempena taklimat mengenai prestasi kewangan suku pertama 2025 kumpulan itu pada Jumaat.

Lim berkata pada masa ini pasaran AS menyumbang sebanyak 18 peratus daripada jumlah jualan kumpulan itu dan menjangkakan pesanan dari negara itu meningkat secara ketara dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata walaupun beberapa pesaing Malaysia beroperasi pada kapasiti 80 peratus, Top Glove sebaliknya masih mempunyai ruang untuk mengembangkan pengeluarannya.

"Top Glove juga kembali mencatat keuntungan bagi suku pertama tahun kewangan 2025, didorong oleh peningkatan 16 peratus suku ke suku dalam jumlah jualan serta peningkatan kecekapan operasi.

"Kami menjangkakan tahun kewangan 2025 akan menyaksikan prestasi lebih kukuh dengan jumlah pesanan AS yang kian meningkat dan harga lebih baik, didorong oleh pertambahan permintaan global," katanya.

Lim juga mengakui kewujudan tekanan harga berterusan apabila pengeluar China bersaing secara agresif dengan mengalihkan produk ke pasaran lain dan menumpukan sarung tangan bukan perubatan yang tertakluk kepada tarif lebih rendah.

Mengulas keadaan rantaian, beliau berkata aspek itu semakin baik selepas bertahun-tahun mencatat lebihan bekalan akibat lebihan pengeluaran susulan pandemik.

Selain itu, kilang-kilang lebih kecil juga telah ditutup manakala lebihan stok semakin selesai, sekali gus membantu menstabilkan harga purata jualan (ASP).

"Bagaimanapun, harga kekal di bawah paras prapandemik dengan ASP semasa untuk sarung tangan nitril sekitar AS$20 hingga US$23 bagi setiap 1,000 keping. Pemulihan harga pada masa depan akan bergantung pada usaha mengimbangi penawaran dan permintaan selain kekal berdaya saing terhadap pemain China.

"Bagi kami, permintaan semakin seiring dengan bekalan. Susulan penutupan beberapa kilang di seluruh dunia, pasaran juga kembali menjadi seimbang. Namun, kami mesti kekal kompetitif dalam aspek harga," katanya.

Sementara itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, Top Glove berkata keuntungannya kembali pulih dengan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM5.47 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 sehingga 30 Nov, 2024 dan pulih daripada kerugian bersih RM57.71 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan hasil melonjak 80 peratus kepada RM885.89 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 berbanding RM493.45 juta bagi suku sama tahun lepas.

"Pemulihan itu dikaitkan dengan aliran masuk pesanan lebih kukuh dan konsisten yang meningkatkan kadar penggunaan kepada 66 peratus di seluruh kilang operasinya," katanya.

-- BERNAMA