KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini disebabkan pelabur kekal berhati-hati dengan keputusan beberapa bank pusat utama, data ekonomi utama dan pengumuman pendapatan daripada syarikat bermodal besar Amerika Syarikat (AS).

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.62 mata atau 0.78 peratus kepada 1,611.94 daripada 1,624.56 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 0.22 mata kepada 1,624.78, bergerak antara paras 1,611.94 dan 1,629.37 sepanjang sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 723 berbanding 306, dengan 589 kaunter tidak berubah, 867 tidak diniagakan dan 89 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.19 bilion unit bernilai RM3.11 bilion daripada 4.23 bilion unit bernilai RM2.89 bilion sebelumnya.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sektor teknologi kekal menjadi tumpuan dalam ekuiti Malaysia menjelang pengumuman keptusan kewangan pendapatan syarikat terkemuka teknologi AS.

Beliau berkata indeks serantau juga berada dalam kedudukan negatif atas sebab yang sama.

"Bagi bursa tempatan, indeks penanda aras telah berlegar pada paras sokongan 1,610-1,625 untuk hari keempat berturut-turut.

"Kami berharap ia akan melepasi julat berkenaan, sekiranya tidak, indeks mungkin akan mengukuh pada paras semasa buat seketika sehingga pemangkin baharu muncul," katanya kepada Bernama.

Thong berkata jika FBM KLCI menembusi paras rintangan 1,630, beliau menjangkakan momentum menaik yang lebih kukuh dalam tempoh terdekat.

"Buat masa ini, kami menjangkakan indeks penanda aras akan turun naik dalam julat 1,610-1,630 untuk baki minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 12 sen kepada RM10.08, Public Bank merosot 6.0 sen kepada RM4.18, CIMB Group menguncup 3.0 sen kepada RM7.21, IHH Healthcare berkurangan 5.0 sen kepada RM6.22, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.10.

Bagi kaunter paling cergas, Velocity Capital Partner, Hubline dan Velesto Energy turun 0.5 sen masing-masing kepada 7.5 sen, 12.5 sen dan 22 sen, OCR Group merosot 1.5 sen kepada 7.0 sen dan Top Glove merosot 7.0 sen kepada RM1.09.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 77.85 mata kepada 12,468.70, Indeks FBMT 100 merosot 74.50 points kepada 12,060.04, Indeks FBM Emas Shariah turun 45.58 mata kepada 12,781.60, Indeks FBM 70 menguncup 42.25 mata kepada 18,605.02 dan Indeks FBM ACE jatuh 110.83 mata kepada 5,668.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 132.44 mata kepada 17,955.43, Indeks Perladangan susut 7.38 mata kepada 7,169.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.98 mata kepada 191.88, Indeks Tenaga jatuh 2.48 mata kepada 963.42.

Jumlah Pasaran Utama meningkat kepada 2.47 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 2.41 bilion unit bernilai RM2.52 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 1.03 bilion unit bernilai RM117.90 juta berbanding 1.06 bilion unit bernilai RM143.70 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot 688.13 juta saham bernilai RM221.85 juta daripada 754.36 juta saham bernilai RM222.85 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 336.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (743.43 juta), pembinaan (302.74 juta); teknologi (200.19 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (92.46 juta); hartanah (256.52 juta), perladangan (26.95 juta), REITs (19.01 juta), dana tertutup (36,000), tenaga (172.38 juta); penjagaan kesihatan (116.31 juta); telekomunikasi dan media (34.34 juta); pengangkutan dan logistik (112.25 juta); utiliti (53.63 juta); dan amanah perniagaan (1.67 juta).

-- BERNAMA