TOKYO: Sebuah organisasi perubatan utama di Jepun mendesak kerajaan supaya membatalkan penganjuran sukan Olimpik Tokyo, memandangkan situasi di hospital yang sudah sesak dalam menangani kes jangkitan COVID-19.

Reuters melaporkan, kumpulan petugas kesihatan itu bimbang kerana dalam tempoh kurang dari tiga bulan temasya sukan itu berlangsung, Negara Matahari Terbit itu menyaksikan lonjakan kes jangkitan tempatan.

Persatuan Pengamal Perubatan Tokyo yang mewakili kira-kira 6,000 doktor berkata, petugas di hospital-hospital di ibu negara Jepun, yang menjadi tuan rumah temasya itu, sudah tidak menang tangan malah tidak mempunyai kapasiti tambahan untuk berdepan lonjakan kes-kes baharu.

“Kami mendesak pihak berkuasa meyakinkan Jawatankuasa Antarabangsa Olipik (IOC) bahawa dengan menganjurkan temasya itu hanya akan mendatangkan kesulitan, maka batalkan sahaja," kata persatuan itu dalam satu surat terbuka kepada Perdana Menteri Yoshihide Suga.



Kenaikan kes COVID-19 baharu di negara itu telah mencetus keresahan berikutan kekurangan tenaga kerja perubatan dan katil hospital di beberapa kawasan di seluruh ibu negara Jepun itu.

Desakan itu juga mencadangkan kerajaan supaya memanjangkan perintah larangan pergerakan ketiga di Tokyo dan beberapa daerah lain sehingga sekurang-kurangnya 31 Mei.

Surat terbuka itu menambah, tidak lama lagi keadaan menjadi lebih sukar apabila pesakit akan berdepan kelesuan akibat haba musim panas.

Tambahnnya, jika temasya Olimpik nanti menyumbang kepada kenaikan kes kematian, "kerajaan Jepun perlu bertanggungjawab secara maksimum" atas kemungkinan itu.

Selain desakan komuniti perubatan, satu petisyen dalam talian yang setakat ini sudah ditandatangani ratusan ribu orang juga dilancarkan, untuk mendesak pembatalan penganjuran sukan Olimpik.

Secara keseluruhan, situasi jangkitan COVID-19 di Jepun tidak seburuk kebanyakan negara lain, namun pihak kerajaan tetap dikritik kerana program vaksinasi yang perlahan. Hanya kira-kira 3.5 peratus daripaa populasi 126 juta rakyatya telah divaksinasi, menurut data Reuters.