Pilihan ketujuh kejohanan itu menewaskan pemain tuan rumah, Toma Junior Popov dengan keputusan straight set, 21-13 dan 24-22.
Set pertama nyata tiada masalah buat Zii Jia mendominasi perlawanan dengan mudah menafikan setiap asakan daripada pemain lawan.
Begitupun, di set kedua, dengan sorakan daripada ribuan penonton, Popov bangkit memberikan saingan tatkala Zii Jia dilihat sedikit mengendurkan serangan.
Namun, di hujung perlawanan, pemain negara kembali agresif, melakukan beberapa smash kencang dan akhirnya menang dengan keputusan 24-22.
Selepas ini, Zii Jia dijadualkan bertemu pilihan keempat kejohanan dan pemain ranking ketiga dunia, Anders Antonsen dalam saingan Separuh Akhir pada Jumaat.
Berdasarkan rekod pertemuan menentang pemain Denmark itu, Lee Zii Jia mencatatkan tiga kemenangan dalam lapan aksi mereka.
Kali terakhir mereka bertemu adalah pada aksi suku akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, menyaksikan Zii Jia menang 21-15, 19-21, 21-11.