KAJANG: Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) sedia mempertimbangkan keputusan menyenarai masuk beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam program berkenaan pada mesyuarat akan datang.


Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) mempertimbangkan untuk menyenarai masuk beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam program tersebut kerana prestasi cemerlang mereka dan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dunia.
  • Sze Fei-Nur Izzuddin baru-baru ini memenangi kejuaraan ketiga mereka di Terbuka Artik dengan mengalahkan beregu kedua dunia dari Denmark.
  • Program Rakan Muda: Skills For Life di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang bertujuan memberi latihan kemahiran dalam perkhidmatan kedi kepada prospek lelaki di Penjara Kajang, dengan peluang menyambung pengajian dalam kursus sepenuh masa di AKBG.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia dibuat selepas beregu lelaki berkenaan berjaya menampilkan aksi cemerlang pada beberapa kejohanan sebelum ini, sekali gus menepati kriteria untuk disenaraikan dalam RTG iaitu berada di kelompok 10 terbaik dunia.

"Prestasi mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) memang semakin meningkat dan saya ucapkan tahniah kepada mereka. Saya berharap mereka dapat teruskan konsistensi ini.

"Sekarang ini untuk RTG memang kedudukan 10 terbaik dunia dalam bidang sukan masing-masing, kita akan bantu mereka ke Sukan Olimpik.

"Saya kira dengan prestasi Sze Fei dan Nur Izzuddin ada harapan besar untuk kita masukkan dalam jawatankuasa RTG," katanya kepada pemberita ketika sidang media Program Rakan Muda: Skills For Life Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) bidang perkhidmatan kedi di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang di sini hari ini.

Semalam, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya meraih kejuaraan ketiga mereka selepas memenangi acara beregu lelaki pada Terbuka Artik selepas menumbangkan beregu kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19.

Hannah ketika mengulas program yang dijalankan hari ini berkata ia adalah inisiatif bersama Bahagian Pembangunan Rakan Muda dan Jabatan Penjara.

Beliau berkata ia bertujuan memberi latihan kemahiran dalam perkhidmatan kedi kepada prospek-prospek lelaki di Penjara Kajang.

"Saya percaya dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah AKBG, para peserta akan mendapat latihan berkualiti sejajar dengan pengalaman mereka.

"Dengan pendedahan sebegini, ia dapat membantu meningkatkan kompetensi individu serta membuka peluang kepada mereka menceburi bidang pekerjaan dalam industri golf tempatan," katanya.

Seramai 20 orang prospek lelaki mengikuti latihan kemahiran bidang perkhidmatan siri satu bermula hari ini (14 Okt) sehingga Jumaat (18 Okt).

Prospek yang mengikuti latihan berkenaan berpeluang menyambung pengajian dalam Program Kursus Perkhidmatan Kedi sepenuh masa selama enam bulan di AKBG.

-- BERNAMA