LANGEBAAN (AFRIKA SELATAN): Presiden Afrika Selatan perlu menghubungi Elon Musk pada Isnin malam.

Bilionair itu secara terbuka menuduh kerajaan pasca-apartheid negaranya mengamalkan perkauman terhadap golongan kulit putih dan kini sekutunya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk memotong lebih AS$400 juta dana kepada negara tersebut.

Justeru, Bejani Chauke, penasihat kepada Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menghubungi Errol Musk, bapa kepada Elon Musk, yang berusia 78 tahun dan menetap di sebuah vila mewah dua tingkat di tepi pantai, kira-kira dua jam perjalanan dari Cape Town.

"Saya diminta sama ada boleh mengatur perbualan pantas antara Ramaphosa dan Elon malam tadi... jadi saya lakukannya dan mereka bercakap beberapa minit kemudian," kata Errol Musk kepada Reuters di kediamannya di Langebaan, sebuah kawasan majoriti kulit putih yang menghadap lagun yang bersambung dengan Lautan Atlantik.

Di kediaman itu juga beliau menyimpan sebuah Bentley dan Rolls-Royce.

Errol Musk turut menunjukkan pertukaran mesej WhatsApp antara dirinya dan Chauke sebagai bukti.

Namun, Chauke tidak memberikan sebarang maklum balas kepada Reuters mengenai peranannya dalam menghubungi bapa Elon Musk.

Pejabat Ramaphosa turut mengesahkan perbualan telefon dengan Elon Musk yang dilahirkan di Afrika Selatan, menerusi hantaran di platform media sosial milik bilionair itu, X.

Apabila dihubungi oleh Reuters, jurucakap Ramaphosa enggan mengulas mengenai bagaimana perbualan itu diatur atau kandungannya, hanya menyatakan: "Errol Musk ialah seorang warganegara biasa dan pandangannya adalah pandangan peribadinya."

Elon Musk tidak memberi sebarang respons kepada permintaan komen daripada Reuters.

Diplomasi tertutup ini tercetus selepas Trump membuat hantaran pada Ahad lalu dengan mendakwa - tanpa mengemukakan bukti - "Afrika Selatan sedang merampas tanah" dan melayan "golongan tertentu " "dengan SANGAT TERUK."

Trump turut mengancam untuk memotong dana kepada negara itu, menyebabkan nilai mata wang rand Afrika Selatan jatuh hampir 2 peratus dalam dagangan awal pada Isnin, serta kejatuhan dalam pasaran saham dan bon kerajaan.

Kos perlindungan hutang Afrika Selatan daripada gagal bayar juga melonjak ke tahap tertinggi sejak awal Ogos.

Trump merujuk kepada rang undang-undang yang ditandatangani Ramaphosa bulan lalu bertujuan menangani ketidakseimbangan pemilikan tanah berasaskan kaum yang masih berlarutan di Afrika Selatan sejak apartheid berakhir 30 tahun lalu - satu isu yang mendapat kritikan terbuka daripada Elon Musk dan ramai petani kulit putih. - Reuters