WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) terus membantu Israel bersedia menerima serangan balas dijangkakan oleh Iran selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Walau bagaimanapun, penyelaras komunikasi strategik di Majlis Keselamatan Negara, John Kirby memaklumkan bahawa AS masih percaya perjanjian gencatan senjata adalah cara terbaik untuk membawa perang ini berakhir.

"Saya hanya akan mengatakan beberapa perkara: Nombor satu, kami masih percaya perjanjian gencatan senjata adalah cara terbaik untuk menamatkan perang ini.

"Lihat, apabila pemimpin tertinggi berkata dia akan membalas dendam, kita perlu mengambil serius. Sekarang, saya tidak tahu apa yang mereka akan lakukan atau bila mereka akan melakukannya, tetapi kita perlu memastikan bahawa kita sudah bersedia.

"Kita mempunyai keupayaan di rantau ini untuk menjadi mampu membantu Israel mempertahankan dirinya dan, terus terang, mempertahankan rakyat kita sendiri, kemudahan kita sendiri, kepentingan keselamatan negara kita sendiri," katanya.

Terdahulu, Pengawal Revolusi Iran berkata Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran menggunakan peluru jarak dekat dengan kepala peledak kira-kira 7 kilogram, dan berjanji akan membalas dendam.

Pembunuhan Ismail pada Rabu lalu telah menimbulkan kebimbangan kemungkinan konflik secara langsung antara Tehran dan musuh ketatnya, Israel di wilayah yang digegarkan oleh perang Israel di Gaza dan konflik yang semakin buruk di Lubnan.