Rubio mendakwa Ebrahim sebagai seorang ahli politik yang suka memainkan isu perkauman serta membenci Amerika dan Presiden Donald Trump.
"Duta Afrika Selatan ke Amerika Syarikat tidak lagi dialu-alukan di negara hebat ini.
"Kami tiada apa yang perlu dibincangkan dengannya, jadi beliau dianggap sebagai PERSONA NON GRATA," kata Rubio menerusi hantaran di platform media sosial X.
Persona non grata ialah istilah bahasa Latin yang bermaksud orang yang tidak diingini.
Lazimnya, dalam konteks diplomatik, istilah ini merujuk kepada seorang diplomat yang diisytiharkan tidak diterima oleh kerajaan sesebuah negara dan diminta meninggalkan negara tersebut.
Menurut laman web rasmi Kedutaan Afrika Selatan di AS, Ebrahim telah menyerahkan watikah pelantikannya kepada bekas Presiden Joe Biden pada 13 Januari, menandakan permulaan tugas rasminya sebagai duta.
Ini merupakan kali kedua beliau berkhidmat di Washington.
Setakat ini, Jabatan Negara AS dan Kedutaan Afrika Selatan di Washington belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini.
Tindakan ini diambil ketika hubungan antara AS dan Afrika Selatan semakin tegang sejak Trump memotong bantuan kewangan kepada negara itu.
Trump sebelum ini menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap dasar tanah Afrika Selatan serta tindakan negara itu membawa kes genosid terhadap Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Presiden AS itu turut mendakwa tanpa memberikan bukti, bahawa "Afrika Selatan sedang merampas tanah" dan bahawa "golongan tertentu" sedang dilayan dengan sangat teruk.
Dakwaan tersebut turut disuarakan oleh bilionair kelahiran Afrika Selatan, Elon Musk, yang rapat dengan Trump.
Musk mendakwa rakyat Afrika Selatan berkulit putih menjadi mangsa "undang-undang pemilikan tanah yang bersifat perkauman".
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, bagaimanapun menegaskan, bdasar tanah yang diperkenalkan bertujuan mengurangkan jurang ketidakseimbangan pemilikan tanah antara kaum di negara yang majoriti penduduknya berkulit hitam.
Pada Januari lalu, Ramaphosa menandatangani undang-undang baharu yang memudahkan kerajaan mengambil tanah bagi kepentingan awam, dalam beberapa kes tanpa pampasan kepada pemilik asal.
Namun, beliau menegaskan, tiada tanah yang telah dirampas setakat ini. - Reuters
