Jurucakap kementerian Anis Al-Asbahi berkata: "Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pencerobohan AS yang menyasarkan kawasan kediaman di Sanaa, Saada, Al-Bayda, dan Rada'a pada Sabtu telah mengorbankan 31 orang dan mencederakan 101 yang lain, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita."
Beliau menambah bahawa angka itu masih bersifat sementara kerana usaha mencari mangsa masih diteruskan selepas beberapa siri serangan udara AS menyasarkan kawasan awam.
Asbahi mengecam serangan itu dengan menyifatkannya sebagai "jenayah perang penuh" yang menambah kepada "rekod jenayah pakatan kejahatan" serta "pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan konvensyen antarabangsa."
Pada Sabtu, Kumpulan Houthi yang disokong Iran mengumumkan bahawa serangan udara AS-UK di Yaman telah mengorbankan 24 orang, dengan sekurang-kurangnya 23 lagi cedera.
Houthi sebelum ini memberi amaran kepada Israel pada 7 Mac supaya membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dalam tempoh empat hari atau berdepan serangan maritim terhadap kapal-kapal berkaitan Israel.
AS melancarkan serangan udara ke atas Houthi di Yaman selepas Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa "api neraka akan menimpa" jika kumpulan itu meneruskan serangan ke atas kapal-kapal di Laut Merah.
Houthi telah menyerang kapal-kapal berkaitan Israel di Laut Merah dengan peluru berpandu dan dron sejak akhir 2023, menyebabkan gangguan kepada perdagangan global, sebagai tanda solidariti dengan Semenanjung Gaza.
Kumpulan itu menghentikan serangan selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas diumumkan pada Januari tetapi mengancam untuk menyambungnya semula apabila Israel menyekat semua bantuan ke Gaza pada 2 Mac.
-- BERNAMA
