DUA pejuang Hamas dilaporkan terbunuh selepas tentera rejim Zionis melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza.

Ia berikutan ketegangan yang timbul susulan keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menurut Reuters, kedua-dua yang terkorban tersebut telah disahkan oleh sumber sebagai anggota kumpulan pejuang Hamas.

Ini menjadikan jumlah yang maut sejak tunjuk perasaan anti-Israel diadakan meningkat kepada empat.

Sebelum ini, dua warga Palestin telah terbunuh semasa bertempur dengan tentera Israel ketika mengadakan tunjuk perasaan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza membantah tindakan AS.

BACA: Baitulmaqdis: Dua warga Palestin maut dalam tunjuk perasaan anti Israel

Mangsa pertama ditembak mati tentera rejim Yahudi itu di sempadan Gaza, manakala mangsa kedua, yang merupakan seorang lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia dalam pertempuran di Semenanjung Gaza.

Trump pada Khamis menjadi presiden pertama AS yang mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan dunia termasuk Malaysia yang mahu negara itu mengkaji semula keputusan tersebut kerana ia dilihat sebagai satu pencerobohan terhadap bangsa Arab dan umat Islam.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai deklarasi perang terhadap rakyat Palestin serta panggilan 'intifada' atau pemberontakan.

Haniya dalam satu ucapan di Kota Gaza pada Khamis berkata pengiktirafan Trump itu 'membunuh' proses perdamaian Israel-Palestin.