MOSCOW: Seamai 72 orang terbunuh dan 43 yang lain cedera dalam lebih 20 serangan ke atas kemudahan kesihatan di Lubnan sejak 17 September, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, lapor Sputnik.

"Sejak peningkatan serangan antara Israel dan Lubnan pada 17 September 2024, WHO telah mengesahkan 23 serangan ke atas kemudahan kesihatan di Lubnan yang mengakibatkan 72 kematian dan 43 kecederaan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit," kata organisasi itu dalam satu kenyataan.

Menurut WHO, 100 daripada 207 pusat penjagaan kesihatan utama dan dispensari di kawasan terjejas konflik kini ditutup. Bekalan di kemudahan kesihatan Lubnan semakin berkurangan dan petugas kesihatan keletihan.

Sejak 1 Oktober, Israel telah melancarkan operasi darat terhadap kumpulan Hizbullah di selatan Lubnan sambil meneruskan serangan udara.

Angka korban di Lubnan akibat serangan Israel telah melebihi 2,300 orang sejak konflik memuncak, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

-- BERNAMA