KUALA LUMPUR: Takaful Malaysia memperkenalkan Takaful 100 Youth Leadership Program, sebuah inisiatif khas sempena ulang tahunnya ke-40.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal, program ini bertujuan melahirkan pemimpin muda yang berwawasan serta berdaya tahan untuk masa depan negara.

“Melalui program ini, kami berhasrat untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang berwawasan, mempunyai daya tahan dan nilai kepimpinan yang tinggi.

“Inisiatif ini mencerminkan peranan penting kami dalam pembangunan negara serta komitmen kami untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat yang mampan dan inklusif,” katanya semasa majlis sambutan di Kuala Lumpur.

Takaful 100 Youth Leadership Program memberi fokus kepada bakat muda dalam bidang aktuari, kewangan, perakaunan, teknologi maklumat, serta bidang berkaitan.

Kerjasama dengan universiti tempatan juga akan dilaksanakan untuk mengenal pasti mahasiswa berpotensi.

Seiring ulang tahun ke-40, Takaful Malaysia turut mengenang sejarah penubuhannya pada 1984 sebagai pengendali takaful pertama di Malaysia, yang kini terus berkembang sebagai peneraju insurans patuh Syariah.

Selama empat dekad, Takaful Malaysia telah mencatatkan pelbagai pencapaian gemilang, termasuk disenaraikan sebagai lima teratas bagi 20 saham terbaik berdasarkan pulangan selama 26 tahun oleh The Edge Malaysia.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, syarikat mencapai hasil jualan melebihi RM3 bilion, dengan keuntungan sebelum zakat dan cukai melebihi RM500 juta.

Tegas beliau, syarikat juga komited melabur dalam teknologi digital untuk memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan di masa hadapan.