KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 syarikat pemula niaga yang terpilih dalam Program Pemecut Selangor (SAP 2024) bakal mengukuhkan kedudukan mereka bersama syarikat lain dalam industri setelah berjaya menamatkan program berprestij itu.

Sejak diperkenalkan pada 2018, SAP telah melatih lebih 190 syarikat pemula niaga melalui bimbingan intensif yang bertujuan mempersiapkan mereka untuk mengakses pasaran global.

Program SAP, yang diterajui oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), terus memainkan peranan penting dalam membina ekosistem inovasi di Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Hari Demo Akhir, SIDEC menyatakan bahawa 41 peratus daripada peserta terdahulu berjaya mendapatkan dana dan banyak di antara mereka telah berkembang di peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik dan program lawatan sambil belajar.

Hari Demo Akhir SAP 2024, yang berlangsung semasa Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024, menyaksikan 10 pemenang menerima hadiah berupa bimbingan, akses kepada pelabur, serta peluang pengembangan di luar negara.

Antara syarikat pemula niaga yang diiktiraf dalam kategori Kecerdasan Buatan (AI), Mobiliti Pintar, Robotik dan Penyelesaian Perniagaan di bawah ‘Vertical 1’ ialah Alphaswift, Baituljannah, Shieldbase, Vcred dan Homesifu.

Dalam kategori Bioteknologi, Penjagaan Kesihatan, Agriteknologi, Net Zero dan Sains Hayat di bawah ‘Vertical 2” pula, lima syarikat pemula niaga terbaik ialah Green Advantex, Qarbotech, Atoz, Zoala dan Vidanex.

Sepanjang tiga hingga empat bulan lalu, 20 finalis SAP 2024 menjalani latihan intensif menerusi program berstruktur yang merangkumi bengkel, sokongan pembiayaan, lawatan industri, serta peluang pengembangan pasaran antarabangsa.

"Hari Demo Terakhir menandakan kemuncak perjalanan mereka, mempamerkan penyelesaian inovatif mereka kepada panel pakar industri, pemodal teroka dan pemimpin daripada ekosistem teknologi," menurut kenyataan itu lagi.

Kini dalam edisi ketujuh, SAP terus menjadi tulang belakang kepada strategi Selangor untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Kohort pemula niaga tahun ini berjaya menangani cabaran industri dengan pelbagai penyelesaian baharu, seperti penggunaan AI dalam penjagaan kesihatan dan pembangunan bahan mampan untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping, berakata SAP sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai platform berkesan bagi melahirkan bakat dan syarikat pemula niaga tempatan.

"Kami sangat teruja untuk menyaksikan kejayaan syarikat pemula niaga ini dan sumbangan mereka ke arah visi Selangor untuk menjadi hab global bagi teknologi dan inovasi," katanya.

Sementara itu, Exco Perdagangan, Pelaburan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong inovator dan usahawan.

"Melalui inisiatif seperti SAP, kami sedang membina asas kukuh untuk ekonomi digital, memupuk kerjasama antara syarikat pemulan niaga, pelabur dan pemimpin global untuk memastikan Selangor kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi," tambahnya.

Hari Demo Akhir SAP 2024 merupakan antara acara tumpuan dalam SDEC 2024, yang menghimpunkan pakar industri, inovator dan pemimpin global untuk membincangkan masa depan transformasi digital.

Fokus utama konvensyen tahun ini adalah pada inovasi semikonduktor, kecerdasan buatan generatif, dan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dengan kejayaan SAP 2024, program ini terus membuktikan peranan pentingnya dalam merapatkan kerjasama awam-swasta, seterusnya memacu masa depan digital Malaysia.



* Sidec menzahirkan penghargaan kepada AFFIN sebagai penaja utama SDEC 2024, selain sokongan berharga daripada rakan strategi utama, termasuk TikTok Shop sebagai 'Strategic E-Commerce Partner', Shopline sebagai 'Strategic Webstore Partner', PayMate selaku 'Strategic Business Payment Partner', Fiuu selaku 'Strategic Payment Partner', Pos Malaysia sebagai 'Strategic Logistic Partner' dan Vimigo sebagai 'Strategic Partner'. Sokongan mereka amat penting dalam menjayakan inisiatif SIDEC dan memacu ke arah matlamat SDEC 2024.