PUTRAJAYA: Agenda perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan, khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perincian untuk mencapai objektif tersebut akan diumumkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Bajet 2022.

Jelas Perdana Menteri lagi, kerajaan menyedari ramai rakyat di negara ini, terkesan dengan keadaan ekonomi semasa, khususnya dalam soal perumahan.

“Program-program kediaman mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (atau PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh.

BACA SEMUA BERHUBUNG RANCANGAN MALAYSIA KE-12 DI SINI


“Saya yakin, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program-program perumahan ini agar ia tidak hanya boleh dibina dalam tempoh yang singkat, malah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia) oleh KPKT di sini, hari ini.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan terus komited memberikan yang terbaik kepada rakyat keseluruhannya, dengan menyediakan pelbagai inisiatif yang berkaitan.

"RMK-12 dan Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat bakal menggariskan hala tuju dan pendekatan kerajaan, dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia diberi keutamaan,” katanya lagi.