LIMA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di sini, pada jam 11.15 malam Selasa waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke benua Amerika Selatan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Peru untuk lawatan rasmi sulung ke Amerika Selatan, disambut oleh Duta Besar Malaysia dan wakil kerajaan Peru.
  • Anwar akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dan bertemu dengan Presiden Peru serta mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru.
  • Anwar juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun dan New Zealand.


Ketibaan beliau menerusi pesawat khas di Pangkalan Tentera Udara Peru disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham.

Manakala kerajaan Peru pula diwakili oleh Menteri Pengeluaran, Sergio González Guerrero, Ketua Protokol Kementerian Luar Peru, Luis Escalante Schuler serta Panglima Pangkalan Udara, Jeneral Julio Cesar Gutierrez.

Mengiringi beliau dalam pesawat sama dari Kaherah, Mesir adalah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Turut sama adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Si.

Beliau kemudian menerima tabik hormat daripada pasukan tentera Peru sebelum ke hotel penginapan bagi meneruskan mesyuarat pra-majlis.

Jadual padat menanti beliau sepanjang empat hari di Peru, seiring Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang Ke-31.

Pada Rabu, Anwar dijadual bertemu dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan Peru.

Selain membincangkan isu-isu serta kerjasama dua hala dalam mengukuhkan hubungan Kuala Lumpur-Lima, Anwar juga akan menerima pingat tertinggi Kerajaan Peru, El Sol del Peru sebagai satu penghormatan tertinggi kepada Ketua Kerajaan.

Selain itu, Anwar turut dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.  

Malah, wakil-wakil syarikat ternama dunia seperti Tik Tok dan Google turut dijadual akan menemui Perdana Menteri.

Pada 14 November pula, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi bertajuk “Opportunities and Challenges in the AI Revolution”.  

Pada 15 November, Perdana Menteri akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) selain akan menyampaikan intervensi Malaysia semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November.

Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain termasuklah dari Jepun dan New Zealand.