BEIJING: Alix Didier Fils-Aime mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Haiti pada Isnin, lapor Xinhua memetik The Haitian Times.

Dalam ucapan semasa majlis itu, Fils-Aime berikrar untuk memberi perhatian menyeluruh terhadap masalah keselamatan dan menganjurkan pilihan raya yang tidak boleh dipertikaikan.

"Bersama-sama, kita akan memastikan negara memiliki pihak berkuasa sah yang mampu membuat keputusan. Keadaannya memang kacau-bilau, tetapi tiada yang mustahil," katanya.

Sementara itu, Garry Conille yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri telah disingkirkan oleh Majlis Presiden Peralihan yang ditubuhkan pada April lalu, dengan mandat memilih pemimpin politik baharu dan menganjurkan pilihan raya di negara Caribbean itu.

Haiti sedang menghadapi krisis kemanusiaan dan keselamatan yang semakin buruk akibat keganasan kumpulan bersenjata.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini, sekitar 2,500 orang dilaporkan terbunuh atau cedera akibat keganasan itu.

-- BERNAMA