Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, tanda penghormatan itu dizahirkan dengan Presiden China Xi Jinping sendiri akan menghoskan majlis makan malam sebaik selesai kunjungan hormat Anwar di The Great Hall of People pada hari terakhir lawatan kerja beliau.
"Ini merupakan satu penghormatan yang diberikan oleh Presiden Xi Jinping. Beliau juga telah bersetuju untuk menghoskan satu majlis makan malam untuk Perdana Menteri dan ini satu penghormatan yang tinggi kepada Malaysia kerana kedua-dua pemimpin ini bukan satu 'level' yang sama.
"Ini merupakan lawatan kerja dan Perdana Menteri sekarang jumpa Presiden Jinping sebagai ketua negara, sementara beliau adalah ketua kerajaan," katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama delegasi media Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke China, di sini.
Mengulas lanjut, Norman berkata ketika kunjungan hormat ke atas Jinping, Perdana Menteri juga dijangka mengambil peluang untuk menjemput pemimpin itu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia tahun depan.
Selain itu, jelas beliau Malaysia turut diberikan penghormatan sebagai 'Country of Honour' sempena majlis pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7 yang dijadual esok.
Katanya, Anwar yang juga Menteri Kewangan adalah pemimpin terawal yang diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dalam majlis berkenaan selepas rakan sejawatnya, Li Qiang sebelum diikuti dengan ketua-ketua negara dan kerajaan asing yang lain.
"Hubungan Malaysia dengan China memang satu hubungan yang baik dan akrab. Kita boleh sifatkan sebagai matang dan kita ada kesefahaman.
"Kita tak menjadikan satu isu itu akan memberi kesan kepada semua... Mungkin kita ada perbezaan pendapat dalam satu isu tetapi ini tidak mengganggu-gugat kerjasama dalam bidang lain seperti perdagangan.
"Saya rasa pun memang China menghargai pendirian Malaysia yang bersifat neutral," ujar beliau lagi.
Kali pertama Anwar melakukan lawatan kerja ke China adalah pada Mac 2023 sebelum diteruskan pada September 2023.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad, lawatan Perdana Menteri ke republik ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.