PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subiato dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra masing-masing pada 23 dan 26 Disember ini di Langkawi.

Perdana Menteri berkata, pertemuan empat mata dengan Prabowo akan melibatkan perbincangan dua hala dan peranan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025.

Sementara itu, pertemuan dengan Thaksin pula dijangka menyentuh mengenai peranan Perdana Menteri Thailand ke-23 itu sebagai penasihat peribadi kepada Anwar yang akan mengetuai ASEAN sebagai pengerusi baharu tahun depan.

“Prabowo memilih untuk menjadikan ini sebagai satu pertemuan empat mata untuk membincangkan beberapa hal dua hala dan juga pandangan kita soal ASEAN.

“Pada 26 Disember juga di Langkawi, saya mengadakan pertemuan dengan Thaksin untuk membincangkan peranan beliau secara teliti kerana beliau mempunyai kekuatan dari sudut hubungan baik dengan beberapa pemimpin ASEAN,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Pada 16 Disember lalu, Anwar memaklumkan Thaksin dilantik sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Thaksin mempunyai pengalaman, khasnya membantu dalam menyelaras isu Myanmar.

Beliau menyifatkan penglibatan Thaksin sebagai penasihat sebagai satu pendekatan yang strategik.

“Tetapi kedudukan beliau adalah sebagai penasihat bersama pasukannya kepada saya sebagai Pengerusi ASEAN dan ia tidak struktur formal ASEAN,” tambah Anwar.

Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, daripada Laos.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.