Ujarnya, pihak polis merupakan tunjang utama dalam memastikan keamanan negara, yang penting untuk memastikan kemajuan dapat terus dikecapi.
"Elak daripada amalan boros, sombong, angkuh, zalim, menekan orang, bila ada kuasa, lupa dan hilang ingatan, mendera orang yang tak sepatutnya didera.
"Semua ini walaupun golongan kecil, saya desak dan tegaskan pimpinan polis tidak boleh bertolak ansur sama sekali demi menyelamatkan bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran Independent Police Conduct Commission Friends & Collaboration (IPCC F&C), di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, untuk berlaku adil, terdapat beberapa insiden terpencil yang digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imej polis secara keseluruhan.
"Kelakuan atau keterlanjuran, walaupun ada, tapi manusia memang tertarik dengan bahan-bahan dan kisah yang 'sensational'.
"Satu atau dua kes itu dianggap mewakili golongan yang besar.
"Sebab itu naratif kita adalah bukan saja polis, tapi kerajaan, harus lebih adil," katanya.
Perdana Menteri berkata pelbagai matlamat kerajaan, termasuk mengembangkan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, bergantung kepada keselamatan dan keamanan yang hanya boleh dikekalkan dengan kecekapan pihak polis.