KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, disokong permintaan domestik yang bertambah baik susulan penjualan baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6930/6970 berbanding dolar AS daripada 4.7055/7105 ketika ditutup pada Rabu.

Pasaran ditutup pada Khamis susulan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul (Hari Keputeraan Nabi Muhammad).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun terdapat sedikit peningkatan namun, peserta pasaran kekal tertumpu kepada prospek kadar faedah yang lebih tinggi di AS.

"Minggu ini menyaksikan hasil Perbendaharaan AS meningkat kepada lebih 4.6 peratus, tertinggi dalam tempoh 16 tahun apabila Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan kadar faedah penanda arasnya lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang.

"Pelabur akan terus menilai maklumat data yang akan diumumkan, dan kebimbangan terhadap pendirian dasar monetari AS yang sangat ketat akan berterusan menentukan sentimen pasaran," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berpandangan ringgit kukuh hari ini memandangkan hasil AS terlaras lebih rendah kepada data ekonomi AS yang lebih lemah berbanding jangkaan.

Beliau berkata selain itu, petunjuk mengenai keadaan ekonomi China juga mendorong pemulihan pertukaran mata wang asing Asia apabila data ekonomi semasa negara itu menunjukkkan peningkatan secara beransur-ansur.

"Bagi keseluruhan pasaran pertukaran wang asing, beberapa pelarasan akhir bulan menyebabkan peniaga mengurangkan pendedahan dolar AS menjelang laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS lewat hari ini, yang mungkin mempengaruhi pergerakan dolar minggu depan," katanya.

Ringgit didagangkan lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1482/1511 daripada 3.1534/1570 ketika ditutup pada Rabu namun, susut berbanding euro kepada 4.9802/9845 daripada 4.9690/9743.

Ringgit turun berbanding pound British kepada 5.7522/7571 daripada 5.7167/7228.

Sementara itu, mata wang tempatan juga didagangkan rendah berbanding mata wang negara Asia lain.

Mata wang tempatan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.8808/8964 daripada 12.8759/8949 ketika ditutup pada Rabu, dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 303.5/303.9 daripada 303.1/303.6.

Ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.30 daripada 8.26/8.28; dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4457/4489 daripada 3.4334/4373.

-- BERNAMA