Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan, Adam Adli Abd Halim berkata, ini kerana figura yang mesra disapa Cikgu Joohari itu tidak perlu berlakon untuk menjadi orang muda, sebaliknya tahu bagaimana mendekati golongan itu berdasarkan pengalaman luas ketika menjadi seorang guru dan juga pengarah di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.
"Malah, mereka turut menjadikan beliau sebagai tokoh yang amat dihormati dan inilah kelebihan yang dimiliki Cikgu Joohari yang dekat dengan golongan muda," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kayuhan Komuniti Sihat di Dewan MPKK Sungai Kechil, di sini, malam tadi.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berharap tempoh kempen berbaki sehari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk jentera memperhebatkan lagi kempen dengan menampilkan Joohari sebagai calon paling layak untuk menjadi pemimpin kepada semua masyarakat termasuk golongan muda.
Adam Adli dalam pada itu mengakui tidak mudah untuk mendekati golongan muda pada kempen pilihan raya kali ini.
"Mendekati mereka menerusi minat is one thing, meyakinkan mereka bahawa kita mampu untuk menjadi jawapan atau solusi kepada persoalan dan cabaran mereka terutama dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya adalah satu perkara yang berbeza," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
- BERNAMA