KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi mereka Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely) untuk meneroka aktiviti peningkatan model.

"Proton juga akan dapat meningkatkan daya saingnya dengan memanfaatkan jejak global Geely," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengeluar kereta nasional itu berkata keupayaan untuk mencipta, mereka bentuk, membangunkan, dan mengeluarkan kenderaan baharu dari awal adalah unik bagi Proton sebagai jenama nasional.

"Keupayaan ini kini telah diperkukuhkan dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman sedia ada Proton dengan sumber dan pengetahuan Geely," katanya.

Dalam perkembangan lain, Proton berkata memasuki tahun ke-39 pengeluaran berterusannya, kereta pertama Malaysia yang dihasilkannya, Proton Saga, mencatat jualan sebanyak 7,855 unit bulan lepas, pencapaian terbaik dalam sebulan model itu sejak Oktober 2013.

Secara keseluruhan, jualan sehingga kini untuk model itu telah meningkat sebanyak 8.8 peratus berbanding tahun lepas kepada 42,693 unit, menetapkan asas untuk tahun jualan yang cemerlang di hadapan.

Sejak Proton Saga pertama mula dikeluarkan pada 9 Julai 1985, jualannya telah melepasi dua juta unit tahun ini, mengukuhkan statusnya sebagai model paling popular dari jenama automotif Malaysia.

"Hari ini, Saga mengekalkan kedudukannya sebagai tonggak utama dalam rangkaian tawaran Proton, membuktikan kebolehpercayaannya dan kemampuan harganya yang terus relevan serta memberi kesan yangbaik kepada sasaran pelanggan kami sepanjang tiga dekad ini," katanya.

-- BERNAMA