Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata alat dispenser 'Low Profile Low Flow Rate Hydrant (LPLFR)' bernilai RM1 juta setiap satu itu, mampu melakukan usaha pengisian minyak pesawat serta mengurangkan pelaburan modal sehingga 30 peratus.
"Kita akan menggunakan teknologi itu untuk mempertingkat sistem pengisian minyak pesawat yang lebih runcing bentuknya seperti Boeing 737-400, 737-800 dan Airbus A320," katanya pada satu taklimat media di sini, pada Jumaat.
Mohd Ibrahimnuddin berkata, LPLFR juga mampu menjimatkan masa pengisian semula minyak antara lima hingga 10 minit berbanding kaedah konvensional.
Mohd Ibrahimnuddin (kiri), ketika perkenalkan Teknologi Pengisian Bahan Api Pesawat Terbaru di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2015) di Langkawi, Kedah pada Jumaat. - fotoBERNAMA
Dispenser pertama yang dibangunkan dalam negara menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat Australia, akan memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang bulan depan.
"Setakat ini, hanya empat lapangan terbang iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mempunyai pili saluran yang menepati dispenser berkenaan," katanya.
Menurutnya, dua unit LPLFR itu akan dipasang di KLIA tahun ini manakala dua atau tiga unit setahun, akan dipasang dalam tempoh lima tahun akan datang di empat lapangan terbang itu.
Kos pemasangan LPLFR juga lebih rendah berbanding kaedah konvensional yang menelan belanja RM1.5 juta.
"Ini adalah dispenser pertama seumpamanya dihasilkan di Asia Tenggara dan kami menjangkakan proses pertukaran peralatan di lapangan terbang sekarang dapat dilakukan secara berperingkat dalam masa lima tahun," katanya.
Mohd Ibrahimnuddin juga tidak menolak kemungkinan alat itu dieksport, tetapi ini bergantung kepada pulangan pelaburan yang berkaitan.