Menteri-menteri tidak dibenarkan membawa isteri ke majlis rasmi di luar negara melainkan tempoh lawatan kerja tersebut melebihi tujuh hari.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan itu bagi menjimatkan kos perbelanjaan awam.

“Dr Mahathir sudah membuat keputusan bahawa kalau menteri menghadiri persidangan luar negara, mereka tidak boleh membawa isteri, melainkan ia melebihi tujuh hari, kerana mungkin terdapat keperluan dan tidak boleh berjauhan terlalu lama.

"Namun begitu, ia harus dilakukan bagi menjimatkan perbelanjaan awam.

"Jika ia lawatan kerja dalam satu dua hari, tidak boleh membawa isteri dan tidak boleh ditanggung kerajaan. Hanya satu menteri dan dua orang pegawai,” katanya.



Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program Bicara Minda bertajuk 'Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua' di Dewan Karangkraf, Shah Alam, pada Jumaat.

Tambahnya, menteri-menteri harus ingat bahawa mereka menghadiri lawatan kerja dan persidangan luar negara untuk bekerja dan bukannya untuk tujuan peribadi.

“Ini soal budaya kerja dan kita harus ingat bahawa kita pergi untuk kerja, bukan untuk bercuti, bukan untuk shopping, bukan untuk golf.

“Saya tahu ketika saya dalam kerajaan satu ketika dahulu, ramai menteri yang jika persidangannya bermula hari Isnin, dia akan tiba tiga hari lebih awal untuk golf, isteri untuk shopping. Dia akan balik tiga hari selepas persidangan selesai.

“Tetapi sekarang ia telah ditetapkan yang kita harus sampai pada hari persidangan itu dan balik selepas selesai persidangan tersebut.

"Itu jaminan pentadbiran kerajaan pada hari ini untuk menjimatkan perbelanjaan kerana ia adalah wang rakyat,” tambahnya.