KUALA LUMPUR: Public Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor perladangan dengan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun penuh sebanyak RM4,300 satu tan.

Penganalisis PIVB Chong Hoe Leong penarafan itu dibuat selepas stok simpanan minyak sawit Malaysia bagi Mac 2022 susut melebihi jangkaan dan mencecah paras terendah dalam setahun iaitu 1.47 juta tan selain kenaikan eksport bulanan terbesar sejak September tahun lepas.

"Eksport minyak sawit melonjak 14 peratus bulan ke bulan kepada 1.26 juta tan, didorong oleh kesemua negara pengguna utama seperti China, Kesatuan Eropah, India, Pakistan dan Amerika Syarikat," katanya dalam satu nota tinjauannya, hari ini.

Chong berkata jurang harga minyak kacang soya-minyak sawit juga akan menjadikan minyak sawit dilihat lebih menarik untuk negara pembeli yang sensitif harga seperti India dan Pakistan menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, premium harga minyak kacang soya berbanding minyak sawit yang meningkat ke paras semasa pada AS$203 satu tan daripada AS$96 satu tan sebelum ini juga adalah kenaikan tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

Menurutnya, ini berikutan kekurangan pengeluaran kacang soya di Amerika Selatan yang mendorong kenaikan mendadak harga kacang soya sejak beberapa bulan lepas.

Sementara itu dalam nota berasingan, Penganalisis CGS-CIMB Securities Sdn Bhd Ivy Ng Lee Fang mengunjurkan stok simpanan minyak sawit meningkat 2.6 peratus bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan menjelang akhir April bagi unjuran tahun 2022 (2022F).

Beliau turut menjangkakan bahawa output minyak sawit susut 3.0 peratus bulan ke bulan menjelang akhir April 2022F akibat kekurangan pekerja manakala eksport merosot 10 peratus bulan ke bulan susulan persaingan dengan eksport minyak sawit Indonesia.

"Kami percaya harga MSM akan diniagakan sekitar RM6,000-7,000 satu tan dalam April 2022F berikutan penurunan bekalan eksport tanaman minyak bunga matahari dari Rusia dan Ukraine serta peningkatan permintaan menjelang perayaan Aidilfitri pada 2-3 Mei, 2022.

"Namun, sebahagian daripadanya telah dapat ditampung oleh bekalan eksport lebih tinggi dari Indonesia selepas ia memutuskan untuk menamatkan obligasi pasaran domestik pada 20 Mac, 2022 dan digantikan dengan levi eksport lebih tinggi," katanya.

Ng berkata penanam Malaysia juga berkemungkinan menyaksikan pendapatan lebih kukuh pada suku pertama 2022F apabila harga purata MSM meningkat 55 peratus tahun ke tahun dan 19 peratus bagi suku ke suku kepada RM6,039.5 satu tan manakala output MSM meningkat 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2022F.

Berikutan itu, pihaknya mengekalkan unjuran purata harga MSM pada RM4,100 satu tan dengan penarafan sektor pada 'neutral.'

-- BERNAMA