Dalam jawapan lisan pada persidangan Dewan Rakyat, kementerian itu berkata kenaikan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha India untuk melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.
"Namun begitu, berdasarkan pengalaman lalu, perubahan tarif ini biasanya bersifat sementara dan kesannya terhadap import minyak sawit Malaysia hanya dalam jangka pendek. Sebagai pengimport minyak sawit terbesar dunia dengan populasi seramai 1.45 bilion, India akan sentiasa memerlukan minyak sawit bagi memenuhi keperluan domestik negara tersebut," katanya.
KPK berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta dinyatakan langkah-langkah strategik jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani kesan drastik terhadap industri sawit Malaysia susulan kenaikan cukai import sebanyak 32 peratus oleh India dan pemotongan kadar levi eksport oleh Indonesia
Menurut KPK, minyak sawit Malaysia kekal relevan di India kerana penggunaannya yang meluas serta kelebihannya dari segi kualiti dan kelestarian serta pengalaman yang terdahulu menunjukkan setelah berlaku perubahan tarif, India tetap terus mengimport minyak sawit untuk memenuhi permintaan dalam negara.
"Malaysia mempunyai strategi jangka panjang melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN- India (AIFTA) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) yang mengehadkan kenaikan cukai import India untuk minyak sawit mentah (MSM) pada 37.5 peratus dan minyak sawit terproses pada 45 peratus.
"Sekiranya diperlukan, Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk mengecualikan duti eksport ke atas MSM sebagai satu langkah jangka panjang bagi mengekalkan daya saing," katanya.
Sementara itu, KPK berkata walaupun perubahan kadar levi eksport oleh Indonesia memberi impak terhadap persaingan dalam pasaran global, Malaysia terus mengekalkan kedudukan dalam pasaran melalui pengeluaran dan eksport minyak sawit yang mampan dan berkualiti tinggi.
"Sebagai langkah jangka panjang, kementerian melalui agensinya iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan terus memperkukuh daya saing industri melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta penghasilan produk-produk nilai tambah tinggi seperti bioplastik dan biobahan api untuk pasaran global," katanya.
-- BERNAMA