JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya melumpuhkan sindiket pengumpulan dan memproses minyak sawit mentah di sebuah premis tidak bernombor di Air Bemban, Kulai, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata serbuan menerusi Op Taring Landai Khas Tahun Baharu Cina pada 10 pagi itu dilakukan bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan, yang turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 dipercayai pengusaha premis.

"Dalam operasi tersebut juga kita telah merampas 171 tangki IBC (intermediate bulk containers) berisi minyak sawit anggaran isipadu 170,400 liter, 52 tangki IBC, empat tangki skid, sebuah treler, dua tangki galon, dua forklift dan tiga unit hos.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.49 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen dan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPKu) 201).

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada penguat kuasa MPOB untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA