Menurut laporan, India menaikkan cukai import asas ke atas minyak makan mentah dan ditapis sebanyak 20 mata peratusan, sekali gus meningkatkan jumlah duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 27.5 peratus daripada 5.5 peratus
Pembatalan itu mewakili 13.3 peratus daripada jumlah import bulanan India, yang berjumlah 750,000 tan.
Bagaimanapun, Johari menyatakan keyakinan bahawa, berdasarkan populasi India sebanyak 1.45 bilion, negara itu akan terus memerlukan minyak sayuran untuk penggunaan.
"Kami akan terus menjadi rakan yang baik (kepada India) dan menawarkan minyak sawit mampan," katanya pada sidang media sempena Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) 2024 di sini, pada Selasa.
India ialah pengimport terbesar dunia dan pengguna minyak makan kedua terbesar.
Pada tahun fiskal 2022-23 (April-Mac), India mengimport 16.5 juta tan minyak makan, dengan pengeluaran domestik hanya memenuhi 40 hingga 45 peratus daripada jumlah keperluan.
Penggunaan minyak dan lelemak oleh India adalah kira-kira 27.2 juta tan pada 2023, dengan minyak sawit menyumbang 36 peratus kepada angka itu.
Pada 2023, India mengimport 2.83 juta tan minyak sawit dari Malaysia, mewakili 18 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia. Pembekal minyak sawitnya yang lain termasuk Indonesia dan Thailand.
Ketika ditanya mengenai potensi perbincangan dengan kerajaan India agar duti import itu dipertimbangkan semula, Johari berkata keputusan sedemikian adalah hak kerajaan masing-masing.
"Kami tidak boleh berbuat demikian (meminta kerajaan India untuk mempertimbangkan semula) kerana itu adalah hak kerajaan mereka dan sebarang isu cukai adalah berkenaan negara itu, kami tidak boleh campur tangan," katanya.
Menjawab soalan mengenai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan eksport ke Rusia, beliau berkata Malaysia menawarkan minyak sawit kepada Moscow untuk penggunaan makanan dan bukan makanan.
Beliau berkata Malaysia masih belum meneroka sepenuhnya potensi pasaran populasi Rusia sebanyak 144.82 juta.
"Saya mahu menumpukan kepada minyak sawit dan (meneroka) sebarang peluang perdagangan lain yang boleh diusahakan bersama oleh Malaysia dan Rusia," katanya.
Sementara itu, MPOF, anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), menarik hampir 500 pihak berkepentingan antarabangsa terkemuka, termasuk pengilang, peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan industri, untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang penting yang membentuk masa depan minyak sawit.
MPOF 2024 yang bertemakan "Navigating Trade Challenges with Sustainable Solutions" menghimpunkan hampir 100 pembeli minyak dan lelemak dari lebih 30 negara, memberikan peluang kepada mereka untuk bekerjasama dengan pembekal minyak sawit tempatan dan sumber produk minyak sawit untuk pasaran dan sektor pembuatan masing-masing.
-- BERNAMA