TAWAU: Peruntukan pembesaran Lapangan Terbang Tawau menerusi Belanjawan 2025 mampu menjadi pemangkin dalam usaha memperkasa sektor pelancongan di Sabah.

Pengurus Persatuan Pedagang Rentas Sempadan Sabah Tasman Matto berkata langkah itu penting dalam usaha menyediakan sebuah lapangan terbang berkapasiti tinggi di pantai timur Sabah bagi menyokong Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang terletak di pantai barat negeri itu.

Beliau berkata usaha pembesaran itu diharap membuka jalan bagi membolehkan Lapangan Terbang Tawau memenuhi keperluan pelancongan peringkat antarabangsa yang lebih besar untuk kawasan pantai timur Sabah.

"Tawau merupakan hab strategik bagi Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) dan dengan langkah pembesaran Lapangan Terbang Tawau ini sudah pasti boleh berkembang sebagai antara hab pengangkutan utama di rantau ini.

"Malahan kedudukan strategik Tawau berhampiran ibu negara Indonesia, Nusantara, membuka peluang ekonomi, di samping Tawau dan daerah sekitar seperti Kunak, Lahad Datu serta Semporna masing-masing memiliki tarikan pelancong, khususnya Semporna yang cukup terkenal dengan pelancong China," katanya kepada Bernama.

Menurut Tasman, Lapangan Terbang Tawau kini menerima kemasukan pelancong China melalui penerbangan terus dari negara itu serta Macau menerusi syarikat penerbangan AirAsia serta Batik Air, di samping terdapat 32 penerbangan sewa khas dari negara itu ke Tawau.

Lapangan terbang itu juga mengendalikan penerbangan domestik antaranya dari Kota Kinabalu, Sandakan dan Kuala Lumpur.

Lapangan Terbang Tawau asalnya direka untuk menampung 1.5 juta penumpang setahun, kini beroperasi dengan kapasiti 1.71 juta penumpang tahun lepas, selain perkhidmatan kargo juga menyaksikan lonjakan besar dengan 13,000 tan dikendalikan tahun lepas berbanding 4,000 tan pada 2019.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata kerajaan bersetuju melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau serta Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM235 juta.

Ahli perniagaan Tan Sri Liew Yun Fah berkata naik taraf Lapangan Terbang Tawau itu sekian lama dinantikan dan Perdana Menteri serta kerajaan Persekutuan menyedari kepentingan untuk ia ditambah baik, sebelum ia direalisasikan menerusi Belanjawan 2025.

Pengerusi Kumpulan DESA Sabah itu berkata beliau sendiri ada berhubung dengan pihak Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu yang memberi maklum balas terdapat permintaan tinggi untuk penerbangan dari negara itu mendarat di Tawau bagi membawa pelancong.

"Memang ada kesesakan penumpang kerana kemudahan tidak mencukupi menyebabkan ketidakselesaan. Terima kasih juga kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang turun padang melihat sendiri keadaan Lapangan Terbang Tawau.

"Naik taraf ini satu perkara penting, ini bukan hanya menaik imej kerajaan Sabah tetapi kerajaan Persekutuan," katanya dan menambah sektor pelancongan mula meningkat kembali seperti sebelum keadaan pandemik COVID-19, justeru, beliau berharap naik taraf Lapangan Terbang Tawau dapat disegerakan.

Sementara itu, seorang pembekal makanan laut Samsur Bahar, 48, berharap pembesaran lapangan terbang itu dapat dipercepatkan terutama bagi memenuhi permintaan pengangkutan kargo yang semakin meningkat.

"Ada terdapat permintaan dari segi eksport makanan laut jadi kita harap kapasiti lapangan terbang ini ditingkatkan untuk kita penuhi permintaan ini. Memang langkah ini amat ditunggu-tunggu rakyat di kawasan kita ini," katanya.

Bagi pekerja swasta, Ng Tze Ti pengumuman peruntukan itu membuktikan kerajaan pada hari ini mengambil berat keperluan penting dan bermanfaat untuk rakyat serta Sabah.

"Saya harap tambah baik kemudahan sedia ada di lapangan terbang, seperti tempat duduk, tempatkan penyejuk udara, selain itu kaunter daftar masuk dan kaunter Imigresen juga perlu diperbanyak bagi menangani kesesakan," katanya.

-- BERNAMA