SETIAP usahawan pasti mengimpikan produk keluaran syarikat mereka kukuh berada di pasaran domestik malah turut bersaing di pasaran antarabangsa. Dengan lambakan produk-produk syarikat multinasional (MNC) di pasaran tempatan sedikit sebanyak merencat usaha para usahawan tempatan untuk mengukuhkan produk-produk mereka secara organik. Ini adalah kerana pengguna di Malaysia sangat setia kepada jenama dan kelebihan itu ada pada jenama syarikat-syarikat besar yang telah lama bertapak di Malaysia dan menguasai separuh rangkaian pengedaran seluruh negara.

Justeru, adalah menjadi keperluan kepada usahawan tempatan untuk mengambil inisiatif yang lebih berani meneroka pasaran luar negara yang terbuka luas. Malah terdapat juga segelintir usahawan tempatan yang terus fokus mencari pasaran antarabangsa lantaran kadar tukaran Ringgit Malaysia dengan wang asing yang memberi kelebihan. Mereka percaya bumi Allah itu luas dan rezeki ada di mana-mana asalkan terus giat berusaha dan cekal membuka pasaran baru tanpa menyerah kalah.

Sejujurnya tiada jalan pintas untuk berada di pasaran luar melainkan usahawan sendiri perlu yakin dan mengenalpasti pasaran yang bersesuaian untuk produk-produk mereka. Dengan menjalankan risikan pasaran (market intel), data-data yang terkumpul tentang sesuatu negara akan sedikit sebanyak memberi panduan perkara yang harus disediakan oleh para usahawan untuk berurusan di negara itu kelak. MATRADE adalah di antara agensi yang berperanan mempromosi eksport negara dan sedia menjadi pemudahcara dalam sebarang urusan perniagaan antara usahawan dan syarikat luar negara. Selain daripada itu, SME Corp juga adalah satu agensi yang menawarkan geran kepada usahawan melalui Galakan Eksport Bumiputera sebagai pemangkin untuk menggalakkan usahawan berani menceburi pasaran luar negara.

Usahawan juga harus bersedia untuk melabur dengan menyertai pelbagai pameran perdagangan antarabangsa untuk bertemu dengan ramai prospek pembeli yang berminat dengan produk mereka. Selain dapat memperkenalkan produk, usahawan juga dapat mengadakan perbincangan bisnes dari segi kualiti, terma eksport dan potensi pasaran luar yang ingin diterokai. Adalah penting bagi usahawan membina rangkaian perniagaan dahulu kerana budaya berniaga di setiap negara adalah berbeza-beza dan apabila usahawan mahir untuk mencuri hati pembeli, transaksi bisnes akan menjadi lebih mudah dan kekal berpanjangan.

Pengalaman menyertai International Food & Drink Event (IFE) 2019 selama 4 hari bersama lebih 1,300 pengusaha produk makanan & minuman (F&B) antarabangsa turut memberi perspektif baru mengenai industri F&B dunia dan bagaimana setiap usahawan pengeluar produk makanan & minuman harus beralih dari pendekatan tradisional kepada inovasi dalam makanan. Industri F&B kini adalah berkisar tentang pemasaran produk yang mempunyai sifat-sifat berikut; Bebas Gluten, Vegan, Vegetarian, bahan-bahan semulajadi, Superfood dan proses penapaian. Menariknya, sifat produk makanan ini diletakkan dengan jelas dan menjadi sebahagian daripada logo di dalam pembungkusan produk. Logo Halal, HACCP, Pensijilan ISO tidak lagi menjadi kriteria penting pada pembungkusan produk dan ini merupakan cabaran yang cukup jelas kepada pihak halal berwajib negara ini dalam mempromosikan halal Malaysia ke seluruh dunia selain tentangan yang kuat penggunaan minyak kelapa sawit dalam produk makanan. Untuk kekal relevan, setiap produk harus mempunyai cerita tersendiri yang mampu menarik pembeli untuk menjadi sebahagian daripada penceritaan tersebut.

Untuk menjadi pemain dalam pasaran antarabangsa, usahawan tempatan tidak boleh bergerak secara solo. Pembeli luar lebih berminat untuk berniaga dengan usahawan yang menawarkan banyak pilihan produk. Justeru untuk berjaya di pasaran luar, usahawan tempatan harus bergerak sebagai konsortium. Konsortium produk-produk tempatan akan memberi persepsi yang baik kepada pembeli bahawa produk-produk yang ditawarkan sudah kukuh di pasaran domestik. Dengan pilihan yang diberikan memberi ruang kepada pembeli untuk menjual lebih banyak produk kepada pasarannya dan memberi cukup masa bagi pembeli mengenalpasti produk-produk yang laris untuk dibeli pada jumlah yang lebih besar pada masa akan datang. Ini juga dapat membantu usahawan membuka pasaran baru dengan kuantiti produk yang lebih kecil pada harga eksport yang lebih kompetitif. Sekaligus mengurangkan risiko kepada usahawan dan juga pembeli luar tersebut.

Menjadi usahawan pengeksport produk ke luar negara memerlukan komitmen yang tinggi kerana setiap urusniaga tidak akan berhasil dalam tempoh sehari. Dengan pemahaman yang jelas tentang permintaan dan keperluan pasaran negara pembeli serta penawaran produk-produk berkualiti dengan harga kompetitif yang bersesuaian dengan pasaran dan citarasa negara tersebut, maka yang perlu diperkuatkan di kalangan usahawan adalah keyakinan diri dan kemampuan memenuhi setiap pesanan pembelian oleh para pembeli antarabangsa. Ya, masa untuk eksport telah tiba. Ayuh!


* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.