KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Maxis Bhd (Maxis) meningkat 7.9 peratus kepada RM356.0 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 daripada RM330.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan hasil yang bertambah baik.

Syarikat telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatannya melonjak kepada RM2.59 bilion pada suku kedua 2024 daripada RM2.47 bilion sebelumnya, disumbangkan oleh pertumbuhan 3.7 peratus hasil perkhidmatan pengguna dan pertumbuhan 10.8 peratus dalam perniagaan perusahaan.

Peningkatan hasil itu membawa kepada kenaikan 4.4 peratus pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku kedua 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, yang diterjemahkan kepada keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku tahun tersebut.

Bagaimanapun, Maxis berkata perbelanjaan operasi, penyelenggaraan dan pemasaran yang lebih tinggi telah menyebabkan margin EBITDA turun sedikit sebanyak 0.2 peratus.

"Maxis melaksanakan pelaburan perbelanjaan modal yang berhemat pada suku kedua 2024, dengan pelaburan tertumpu kepada pemodenan rangkaian, kapasiti rangkaian, pelancaran rangkaian gentian dan pendigitalan teknologi maklumat," katanya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024, Maxis berkata untung bersihnya meningkat kepada RM709.0 juta daripada RM650.0 juta setahun sebelumnya, manakala hasil naik kepada RM5.19 bilion daripada RM5.0 bilion sebelumnya.

Pada masa hadapan, Maxis berkata ia kekal dengan strateginya untuk mengembangkan perniagaan mudah alih, gentian dan perusahaannya, serta menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan mengenai model dwi rangkaian 5G.

Syarikat itu juga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak empat sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, yang perlu dibayar pada 23 Sept, 2024, dengan tarikh kelayakan pada 5 Sept 2024.

--BERNAMA