Maxis dalam satu kenyataan berkata, ia adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Malaysia, dipimpin oleh orang tempatan, dan secara prinsipalnya ia adalah syarikat milik rakyat Malaysia dengan 77 peratus saham dimiliki warganegara Malaysia.
Ia berkata, sebagai sebuah syarikat yang terlibat dalam agenda pembangunan negara, kepentingan rakyat dan Malaysia sendiri sentiasa menjadi keutamaan, selain memastikan seluruh negara menerima manfaat daripada teknologi digital dan 5G.
“Pihak kami akan mengadakan libat urus dengan MCMC untuk memahami rasional di sebalik keputusan mereka (dalam memilih U Mobile), dan kami akan menimbang pilihan yang ada selepas perbincangan dengan semua pemegang taruh,” katanya lagi.
Maxis berkata, bersandarkan kepada pengalaman dalam bidang telekomunikasi selama 30 tahun, pelan cadangannya adalah berlandaskan teknologi 5G-Advanced (5G-A), iaitu lelaran (iteration) 5G seterusnya dengan keupayaan dipertingkat untuk pembangunan aplikasi perusahaan.
Dengan liputan meluas yang mampu memberi manfaat teknologi dan informasi (ICT) kepada lebih 130,000 perusahaan di seluruh negara, Maxis berkata pihaknya bersedia untuk meningkatkan pengaplikasian 5G dalam kalangan entiti perniagaan, yang merupakan salah satu daripada matlamat utama negara.
Sementara itu CelcomDigi dalam kenyataannya pula berkata, pihaknya mengambil maklum tentang keputusan yang dibuat oleh Kerajaan melalui MCMC.
Namun, jelasnya lagi, pihaknya yakin telah membentangkan cadangan teknikal dan komersil yang menarik untuk membina rangkaian 5G kedua, memanfaatkan kedudukan kewangan dan rekod prestasi mereka dalam pelaburan dan penggunaan rangkaian mudah alih berskala besar, dan menyampaikan perkhidmatan yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada rakyat.
“Ini termasuk keupayaan untuk memulakan pelancaran di seluruh negara hampir serta-merta selepas anugerah spektrum, untuk membina rangkaian 5G yang akan sepadan dengan liputan populasi rangkaian 4G dan 4G+ kami dalam masa yang sesingkat mungkin,” katanya lagi.
CelcomDigi berkata, pengintegrasian rangkaian mereka kini sudah berada pada tahap 68 peratus, dan 65 peratus pelanggan mereka menerima manfaat daripada pengalaman yang ditambah baik, berlandaskan rangkaian pintar CelcomDigi yang lebih awal daripada jadual.
“Keutamaan kami kekal untuk memastikan pelanggan kami mempunyai akses yang berpatutan kepada rangkaian 5G yang kompetitif, teguh dan cekap. Kami akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mempertimbang beberapa pilihan berdaya maju di hadapan kami, untuk manfaat pelanggan dan pemegang saham kami,” menurut kenyataan itu lagi.
Berbeza pula dengan TM yang mengambil pendirian untuk menyokong keputusan kerajaan dalam isu tersebut, selagi mana ia meningkatkan manfaat teknologi 5G kepada rakyat, perusahaan, dan negara secara keseluruhan.
“Kami kekal fokus untuk menyampaikan perkhidmatan dan penyelesaian 5G kepada pengguna dan segmen perniagaan kami. Keutamaan kami adalah untuk memastikan semua pelanggan terus mendapat akses lancar kepada perkhidmatan dan ekosistem 5G yang boleh dipercayai.
“Dengan matlamat untuk menjadi Pusat Kuasa Digital menjelang 2030, TM komited untuk memainkan peranan penting dalam membina sebuah negara digital, menyokong ekosistem 5G secara berterusan, dan memacu inovasi digital untuk semua rakyat Malaysia,” menurutnya lagi.
MCMC dalam satu kenyataan pada 1 November lepas mengumumkan pemilihan U Mobile yang dikaitkan dengan jutawan Tan Sri Vincent Tan sebagai pengendali rangkaian kedua 5G di negara ini.
Menurut agensi itu, demi memaksimumkan potensi sebenar 5G untuk manfaat rakyat, industri dan negara, ia telah menjalankan proses yang ketat merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial, antara lain untuk memilih operator rangkaian mudah alih (MNO) yang akan melaksanakan projek tersebut.
Selain itu MCMC berkata, tertakluk kepada kelulusannya, U Mobile dibenarkan untuk berkolaborasi dengan syarikat pengendali telco yang lain untuk melaksanakan rangkaian tersebut.
“Pengawal selia (MCMC) akan terus memantau tahap pelaksanaan rangkaian 5G baharu itu untuk memastikan pematuhan penuh kepada kesemua keperluan kawal selia seperti mana yang termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.
U Mobile dalam kenyataan susulan berkata, ia akan mengurangkan pegangan saham majoriti asingnya kepada 20 peratus bagi memastikan penguasaan Malaysia lebih besar dan menyeru penyertaan daripada pelabur tempatan.
Penyedia telekomunikasi itu berkata langkah itu sejajar dengan komitmennya terhadap agenda negara.
Untuk rekod, CelcomDigi selaku pengendali telekomunikasi terbesar di negara ini mempunyai sekitar 25,000 tapak, berbanding Maxis (11,000) dan U Mobile (9,000).
Menurut laman korporat U Mobile, antara pemegang saham terbesarnya ialah Straits Mobile Investment Pte Ltd, sebuah anak syarikat Temasek Holdings di Singapura dengan 48.26 peratus, diikuti Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (22.31 peratus), Magnum Bhd (7.84 peratus), Singer (Malaysia) Sdn Bhd (6.10 peratus), dan U Telemedia Sdn Bhd (5.59 peratus).