Malaysia Airlines (MAS) menafikan ia mengetahui tentang keputusan untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu bagi penstrukturan semula seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar, bertajuk "MAS may be taken private for restructuring".

MAS, dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Khamis berkata keputusan sedemikian terletak di tangan pemegang saham utamanya dan Kerajaan Malaysia.

"Buat masa sekarang, syarikat ini tidak tahu menahu tentang sebarang keputusan yang telah dibuat oleh kedua-duanya tentang perkara ini," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, pemegang saham majoriti MAS, Khazanah Nasional Bhd juga menyatakan demikian.

"Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa laporan di atas adalah spekulasi," katanya.

"Seperti yang dinyatakan oleh Khazanah sebelum ini, satu kajian menyeluruh tentang pilihan penyusunan semula bagi MAS sedang dilaksanakan dan dinilai. Resolusi tentang kajian ini akan diambil selepas pertimbangan sewajarnya dan selepas mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkaitan dan pihak berkuasa berkenaan, termasuk kelulusan Pemegang Saham Istimewa, Menteri Kewangan Diperbadankan," tegasnya.

Menurut laporan berita itu pada harga semasa MAS sebanyak 21 sen sesaham, Khazanah perlu membayar hanya RM1.05 bilion bagi 30.6 peratus saham yang belum dimilikinya.

Lembaga Khazanah dikatakan akan bermesyuarat pada akhir bulan ini untuk membincangkan rancangan itu, dan satu pengumuman akan dibuat menjelang akhir tahun ini, demikian menurut laporan berita itu.