Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata helikopter berkenaan, diperlukan untuk tugas-tugas menyelamat dan menghantar bantuan bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di Terengganu dan Pahang.
Beliau berkata polis juga telah menyediakan aset lain seperti 102 pacuan empat roda, bot kecil (46), lori (41) dan 21 van.
"Selain itu, lebih 1,000 anggota polis Kelantan bersedia menghadapi MTL, dan tugas mereka akan ditetapkan di kawasan berisiko terutama di Pasir Mas yang sering berhadapan limpahan air Sungai Golok, Thailand.
"Setiap pegawai dan anggota polis yang ditugaskan semasa banjir akan fokus kepada tugasan seperti memantau rumah-rumah atau harta benda yang ditinggalkan mangsa ketika dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mohd Ali berkata polis juga akan sentiasa berhubung dengan kesemua agensi yang terlibat bagi melancarkan segala gerak kerja pengoperasian.
"Kita juga menghadiri beberapa mesyuarat yang diadakan oleh Pusat Bencana Negeri dan yakin musim banjir kali ini dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.
-- BERNAMA