KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mencontohi amalan terbaik Negara-Negara Teluk dalam memudahkan urusan menjalankan perniagaan.


Ringkasan AI
  • Malaysia perlu contohi amalan terbaik Negara-Negara Teluk dalam memudahkan operasi perniagaan.
  • Negara-Negara Teluk menganjurkan konvensyen global berskala besar yang menarik pelabur dan pemain industri, dengan menyediakan maklumat komprehensif mengenai peluang perniagaan, lesen, rakan kongsi tempatan, tenaga kerja, semuanya dalam satu persidangan.
  • Malaysia perlu meningkatkan daya saingnya, mengambil kira permintaan pelaburan yang semakin meningkat di seluruh dunia.


Penganalisis hubungan antarabangsa, Dr. Zokhri Idris berkata, industri perlu mendapat akses secara berkala dan menyeluruh mengenai tawaran-tawaran perniagaan yang ada dalam negara.

“Malaysia harus belajar daripada kecekapan (Emiriah Arab Bersatu - UAE) untuk memudahkan urusan perniagaan. Saya melihatkan trend di Negara-Negara Teluk termasuk Qatar, Kuwait dan UAE ini, banyak konvensyen yang diadakan secara mega dan global.

“Mereka menjemput ramai pelabur dan pemain industri. Pada masa yang sama, telah disediakan ruang untuk mendapatkan lesen, padanan pelabur asing dengan pengusaha tempatan, serta maklumat mengenai tenaga kerja, universiti dan sebagainya. 

“Semua hal ini telah tersedia dalam satu persidangan. Ini memastikan semua peserta meninggal persidangan terbabit dengan sesuatu yang jelas dalam minda mereka. Tidak pulang dengan tangan kosong, dan selebihnya melibatkan pelaksanaan kerjasama yang mereka inginkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Malaysia perlu contohi kecekapan Negara-Negara Teluk mudahkan perniagaan - Pakar

Tambah Zokhri, Malaysia perlu segera meningkatkan keupayaan bersaing memandangkan senario dunia menunjukkan ada peningkatan dalam keperluan kepada pelaburan, sedangkan potensi pelaburan adalah terhad.

"Mungkin ini perlu ditambah baik dalam negara kita agar tidak ketinggalan. Pastinya semua orang mahukan pelaburan. Pelaburan semakin kurang dan permintaan semakin tinggi, maka ia bergantung kepada keupayaan kita memperkemas dan bersistematik dalam membawa pelaburan masuk dalam negara kita,” ujarnya lagi.



Pada 19 Jun lalu, dilaporkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke kedudukan ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland, International Institute for Management Development (IMD).

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).