Malaysia akan kekal menjadi destinasi menarik pelaburan dalam sektor infrastruktur walaupun berdepan beberapa isu utama dalam ekonominya, menurut Hongkong and Shanghai Banking Corp Ltd (HSBC).

Pakar Ekonomi HSBC, Joseph Incalcaterra berkata Malaysia merupakan antara bilangan kecil ekonomi yang mempunyai pendapatan sederhana tinggi di samping profil demografik baik dengan pertumbuhan penduduk ketara.

"Penggunaan projek infrastruktur dan pembangunan kawasan bandar adalah aspek penting untuk penjanaan hasil pada masa depan bagi semua projek.

"Kami berpendapat wujud keperluan masa depan untuk Malaysia mempelbagaikan ekonominya, walaupun ia menjejaskan pertumbuhan jangka pendek," katanya kepada pemberita melalui telesidang dari Hong Kong.

Beliau berkata pengurangan sumbangan perolehan oleh Petroliam Nasional Bhd disebabkan harga minyak mentah semasa yang lemah telah mempengaruhi kemampuan kerajaan untuk berbelanja sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Selain daripada itu, harga minyak sawit dan gas asli juga memberi kesan kepada ekonomi memandangkan Malaysia sensitif terhadap harga komoditi, katanya.

Sementara itu, mengenai kewangan, Incalcaterra berkata Malaysia mempunyai rangkaian ekuiti kukuh dan institusi kewangan mencukupi yang mampu menyediakan pembiayaan untuk projek infrastruktur.

"Di samping mendapat sokongan dari bank antarabangsa seperti kami, Malaysia turut merekodkan lembaran imbangan dan mudah tunai kukuh dalam bank tempatannya, yang memahami dan bersedia untuk bersama-sama peluang itu (pembangunan infrastruktur).

"Perkara paling menarik ialah Malaysia mempunyai pasaran modal matang yang boleh menawarkan mudah tunai dalam jumlah besar untuk pembangunan infrastruktur bagi projek di kawasan yang belum dibangunkan lagi, menjadikan negara ini lebih menonjol berbanding negara ASEAN lain," katanya.

Incalcaterra berkata daripada perspektif dasar monetari, HSBC yakin langkah pengurangan kadar faedah seterusnya oleh Bank Negara Malaysia dijangka menunjukkan bank pusat itu mengekalkan kecenderungan kadar faedah rendah, selepas pengurangan mengejutkan Julai lepas.

Bank pusat itu mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

Beliau berkata ASEAN mempunyai jurang pembiayaan sebanyak AS$1.3 trilion (AS$1=RM4.07) pada 2030 bagi pembangunan infrastruktur, dengan Malaysia memerlukan tambahan AS$42 bilion kepada AS$109 bilion untuk jangkaan pembangunan keseluruhan.