KERJASAMA global, yang berada dalam aliran meningkat sepanjang sedekad lalu telah terbantut disebabkan oleh peningkatan ketegangan geopolitik dan persaingan yang menghakiskan keselamatan global, demikian menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

"Tahap konflik dan krisis kemanusiaan melonjak pada tahun lalu, didorong oleh pelbagai krisis termasuk, tetapi tidak terhad kepada, krisis di Asia Barat, Ukraine dan Sudan," kata organisasi yang berpangkalan di Geneva itu.

Bagaimanapun, katanya, walaupun terdapat krisis keselamatan global, momentum positif dalam kewangan iklim, perdagangan dan inovasi telah memberikan sedikit harapan.

Laporan Global Cooperation Barometer menggunakan 41 petunjuk untuk mengukur keadaan kerjasama global secara meluas dan merangkumi lima tonggak -- aliran perdagangan dan modal, inovasi dan teknologi, iklim dan modal semula jadi, kesihatan dan kesejahteraan serta keamanan dan keselamatan - bagi tempoh 2012-2023 dan diindeks hingga 2020 untuk mencerminkan anjakan era pandemik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WEF Borge Brende berkata, barometer itu dikeluarkan pada saat global berdepan situasi yang amat tidak menentu dan ketika banyak kerajaan sedang membangunkan agenda mereka.

"Apa yang ditunjukkan barometer itu adalah kerjasama bukan sahaja penting untuk menangani cabaran getir ekonomi, alam sekitar dan teknologi, ia juga kemungkinan sesuai dalam konteks dunia yang lebih bergelora pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Tempoh beberapa tahun lalu menunjukkan bahawa keseimbangan ini boleh dicapai," katanya.

WEF berkata, walaupun keamanan dan keselamatan telah merosot secara mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini empat tonggak barometer yang lain terus kekal bertahan dan mendedahkan peluang baharu untuk kerjasama antarabangsa.

Mengenai tonggak inovasi dan teknologi, ia berkata kerjasama global dalam teknologi dan inovasi berkembang maju pada 2023, sebahagiannya disumbangkan oleh pendigitalan di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin meningkat berkaitan dengan teknologi tertentu seperti semikonduktor.

"Bagaimanapun, gangguan pesat daripada teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI) sedang membentuk semula landskap global, meningkatkan kemungkinan persaingan geostrategik atau malahan "perlumbaan senjata AI".

"(Oleh itu,) kerjasama dan strategi inklusif akan menjadi kunci untuk memanfaatkan potensi besarnya sambil menangani risiko," katanya.

Berkenaan tonggak iklim dan modal semula jadi, WEF berkata terdapat peningkatan aliran kewangan dan perdagangan dalam teknologi rendah karbon seperti solar, angin dan kenderaan elektrik.

"Namun, tindakan segera diperlukan untuk memenuhi sasaran bersih-sifar memandangkan pelepasan global terus meningkat.

"Kerjasama padu global diperlukan untuk meningkatkan teknologi dan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan bagi memenuhi matlamat iklim menjelang 2030," katanya.

Mengenai tonggak kesihatan dan kesejahteraan, WEF berkata walaupun bantuan rentas sempadan dan penyelidikan dan pembangunan farmaseutikal telah berkurangan dan begitu juga kerjasama dalam perdagangan barangan kesihatan, pelbagai metrik kesihatan termasuk kematian kanak-kanak dan ibu masih kekal kukuh.

"Memandangkan peningkatan risiko kesihatan dan populasi yang semakin menua, para pemimpin perlu menjalin kerjasama global untuk meningkatkan kesihatan awam dan sistem kesihatan yang mampan," katanya.

Bagi tonggak perdagangan dan aliran modal, WEF berkata metrik berkaitan aliran barangan dan perkhidmatan, perdagangan, modal dan rakyat mencatatkan keputusan yang bercampur-campur pada 2023.

"Perdagangan barangan merosot sebanyak 5.0 peratus didorong sebahagian besarnya oleh pertumbuhan lebih perlahan di China dan di ekonomi membangun lain, manakala pemecahan global terus mengurangkan perdagangan antara blok Barat dan Timur.

"Meskipun begitu, aliran perkhidmatan global, modal dan orang ramai masih menunjukkan daya tahan," katanya.

WEF berkata pelaburan langsung asing melonjak, terutamanya dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan tenaga hijau, manakala penghijrahan buruh dan pengiriman wang melantun semula dengan kukuh, melepasi paras sebelum pandemik.

-- BERNAMA