KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah menggunakan RM1.3 bilion daripada RM3.6 bilion modal yang diperuntukkan di bawah pelan pemulihan perniagaan syarikat penerbangan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, syarikat penerbangan nasional itu mempunyai banyak ruang untuk pertumbuhan pendapatan baharu termasuk dengan membeli pesawat baharu.

Beliau menambah, Khazanah akan terus menyokong MAB selama dua tahun lagi walaupun syarikat penerbangan itu telah melihat aliran tunai positif sejak pandemik COVID-19.

“Ini satu anugerah apabila mereka mempunyai aliran tunai positif. Mereka mengambil peluang semasa krisis itu, memperbaiki kewangan dan memastikan tumpuan diberi dalam menjadikan seluruh syarikat penerbangan itu menguntungkan," katanya dalam sidang media mengenai prestasi Khazanah pada 2022 hari ini.

"Untuk mempunyai perniagaan yang mampan, kita perlu mempertimbangkan pengalaman pelanggan. Ia harus menjadi yang terbaik dan untuk itu ia memerlukan pelaburan dan di situlah kami akan terus menyokong mereka.

"Berkenaan dengan pelaburan asing, saya ingin mereka berada dalam kedudukan yang lebih kukuh. Pastikan syarikat penerbangan itu mantap dan kemudian kita mungkin akan melihat mereka membentuk kerjasama dengan syarikat penerbangan lain," tambah Amirul Feisal.

Beliau bagaimanapun tidak memberi jangka masa mengenai bila Khazanah merasakan MAB akan dapat membuat pemulihan penuh selain menyifatkan ruang perniagaannya masih melalui proses pemulihan kesan daripada pandemik.