KUALA LUMPUR: Pro Naib Canselor (Penglibatan Luar) Taylor's University, Dr. Ong Kian Ming menyarankan kerajaan menerbitkan indeks daya saing sendiri dengan data dan dapatan dikongsikan secara terbuka serta telus kepada orang awam. 


Ringkasan AI
  • Ong Kian Ming mengusulkan agar Kerajaan Malaysia menerbitkan indeks daya saing sendiri dengan data yang terbuka dan telus.
  • Indeks tempatan ini harus melibatkan pandangan pakar untuk memastikan nilai yang diiktiraf oleh pelbagai pihak, termasuk industri.


Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu menjelaskan, ini akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks daya saing antarabangsa. 

“Cadangan saya adalah supaya Kerajaan Madani boleh mengemukakan kad skor sendiri yang mana indeks dan data-data dikemukakan dengan sasaran yang dikehendaki juga ditetapkan. 

“Daripada bergantung kepada indeks yang dikeluarkan oleh orang lain, lebih baik kita sendiri yang mengeluarkan indeks daya dan kad skor sendiri. Kemudian, terbitkan data ini secara telus dan terbuka supaya rakyat Malaysia boleh menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Kerajaan dicadang terbitkan indeks daya saing sendiri

Tambah Kian Ming, indeks tempatan perlu membuka ruang kepada pakar-pakar untuk memberi pandangan bagi memastikan usaha tersebut mempunyai nilai yang diiktiraf oleh pelbagai pihak termasuk pihak industri.

“Jika ia dibuat secara terbuka dan ada penilaian pihak luar melibatkan ahli akademik serta komen daripada daripada pihak industri, ia tidak akan menjadi penilaian biasa-biasa.

“Sebaliknya, boleh membantu kerajaan. Jika indeks yang diterbitkan kerajaan secara telus naik, saya yakin prestasi Malaysia dalam indeks daya saing antarabangsa juga akan naik,” ujarnya.



Pada 19 Jun lalu, dilaporkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke kedudukan ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland, International Institute for Management Development (IMD).

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).